JELI, 12 Julai (Bernama) -- Pertemuan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) malam tadi, adalah bagi membincangkan dasar kerajaan dan memperjelaskan isu semasa yang berbangkit, kata Setiausaha Agung BN Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.
Beliau berkata pertemuan sedemikian memang kerap diadakan, memandangkan BN juga merupakan antara parti gabungan dalam Kerajaan Perpaduan.
“Oleh kerana BN menjadi sebahagian Kerajaan Perpaduan, maka hubungan yang begini sering kali diadakan, termasuk mesyuarat secara berkala dengan pimpinan utama bukan sahaja dengan BN tapi dengan parti komponen yang lain juga.
“Kita berbincang dan Perdana Menteri sampaikan perjelasan dasar kerajaan dan lain-lain lagi,” katanya selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Jeli di Bukit Nangka, di sini hari ini.
Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan pertemuan dengan Ahli Parlimen BN di kediaman rasmi Perdana Menteri, Seri Perdana di Putrajaya.
Pertemuan yang berlangsung lebih sejam itu dipercayai turut membincangkan mengenai sidang Parlimen yang akan datang.
Sementara itu, ketika berucap pada mesyuarat tersebut, Zambry yang juga Ahli Majlis Tertinggi UMNO meminta ahli parti di Kelantan supaya terus membina keyakinan diri dan meneguhkan semangat dalam meneruskan perjuangan UMNO di negeri ini.
“Semangat tidak pernah luntur dalam perjuangan harus dimiliki oleh semua ahli UMNO di Kelantan, sebagaimana semangat yang ditunjukkan ketika Pilihan Raya Kecil (PRK) Nenggiri yang dimenangi BN pada tahun lepas.
“Kita gerakkan jentera, turun bantu dan semua tidak jangka kita akan menang ketika itu, rahsianya kerana kekuatan dan kesungguhan yang ada dalam jiwa ahli UMNO Kelantan semua,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial