AM

ASEAN Terus Sokong Usaha Keamanan Myanmar, Penghantaran Pulang Pelarian

11/07/2025 10:01 PM

KUALA LUMPUR, 11 Julai (Bernama) -- Menteri-Menteri Luar ASEAN menyokong usaha Myanmar memulihkan keamanan dan kestabilan di negara itu, di samping menekankan keperluan proses penghantaran pulang yang selamat dan secara sukarela pelarian domestik dari wilayah Rakhine.

Dalam Kenyataan Bersama Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN (AMM) ke-58 yang dikeluarkan pada Jumaat, blok itu kekal komited untuk memupuk perpaduan dan usaha perdamaian dalam kalangan komuniti di Rakhine, serta memastikan keselamatan dan perlindungan kepada penduduk terjejas.

“Kami menegaskan semula sokongan ASEAN terhadap usaha Myanmar untuk mempromosikan keamanan, kestabilan dan kedaulatan undang-undang di negara itu.

“Kami menekankan kepentingan untuk memastikan keselamatan dan perlindungan untuk semua komuniti, serta memudahkan penghantaran pulang pelarian secara sukarela, selamat dan bermaruah,” menurut kenyataan itu.

ASEAN mengalu-alukan kerjasama berterusan antara Myanmar dan Bangladesh, termasuk inisiatif penghantaran pulang secara dua hala bagi pelarian yang telah disahkan dari Rakhine.

-- LAGI

 

ASEAN-KENYATAAN (MYANMAR) 2 (AKHIR) KUALA LUMPUR

 

“Kita menantikan peranan berterusan ASEAN dalam memudahkan proses penghantaran pulang khususnya melalui pelaksanaan projek susulan berdasarkan syor Penilaian Keperluan Awal (PNA),” menurut kenyataan itu.

Menerusi Kenyataan Bersama itu, ASEAN berharap keadaan akan membolehkan pelaksanaan Penilaian Keperluan Komprehensif (CNA) dalam masa terdekat, di samping menggesa Setiausaha Agung terus meneroka bidang kerjasama yang sesuai bagi menyokong proses penghantaran pulang secara berkesan.

AMM ke-58 yang bermula 8 Julai lepas di bawah Kepengerusian ASEAN Malaysia 2025 bertemakan “Keterangkuman dan Kemampanan” telah melabuhkan tirai hari ini.

Lebih 1,500 delegasi negara anggota ASEAN dan rakan luar telah menyertai 24 mesyuarat peringkat menteri sepanjang empat hari penganjurannya di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan