AM

IACA, MACA Komited Teroka Usaha Perkasa Kerjasama Latihan Dan Pendidikan Antirasuah – SPRM

10/07/2025 11:05 AM

KUALA LUMPUR, 10 Julai (Bernama) -- Akademi Antirasuah Antarabangsa (IACA) dan Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA) menyatakan komitmen untuk meneroka kerjasama dalam pembangunan modul latihan, program akademik dan perkongsian sumber kepakaran, sebagai usaha memperkukuh agenda memerangi rasuah.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam kenyataan hari ini memaklumkan komitmen itu dizahirkan semasa kunjungan hormat Dekan IACA Prof Slagjana Taseva ke atas Pengarah Kanan MACA Datuk Mohd Hafaz Nazar di ibu pejabat MACA di sini, semalam.

“IACA menyatakan hasrat untuk berkongsi kepakaran dalam usaha pencegahan rasuah menerusi kerjasama strategik bersama MACA.

“Antara perkara yang dibincangkan dalam pertemuan hampir dua jam itu ialah peluang memperkukuh potensi kolaborasi antara kedua-dua institusi dalam memperkasa pendidikan antirasuah sejajar keperluan global semasa,” menurut kenyataan itu.

Turut hadir, Ahli Lembaga Penasihat Antarabangsa Kanan IACA Tan Sri Abu Kassim Mohamed dan Ketua Cawangan Perhubungan Antarabangsa, Bahagian Dasar, Perancangan dan Penyelidikan SPRM Nik Nurzai Mohd Zainudin.

Menurut kenyataan itu, IACA merupakan institusi pendidikan pascasiswazah antarabangsa yang memberi tumpuan kepada pendidikan, penyelidikan dan latihan dalam bidang integriti serta pencegahan rasuah.

MACA pula berperanan sebagai pusat latihan dan pembangunan kompetensi bagi memperkukuh keupayaan sumber manusia dalam membanteras rasuah di Malaysia.

Mohd Hafaz dalam kenyataan sama berkata MACA sentiasa terbuka untuk menjalinkan kerjasama dengan IACA, khususnya melalui pertukaran ilmu dan pengalaman dalam bidang antirasuah.

“MACA juga bersedia membawa perbincangan ini ke peringkat seterusnya untuk dimasukkan dalam skop kerjasama melalui memorandum persefahaman (MoU) akan datang,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan