AM

AICHR Sasar Dua Deklarasi Hak Asasi Manusia Diterima Pada Sidang Kemuncak ASEAN Oktober

08/07/2025 06:43 PM

Oleh Nurul Hanis Izmir & Nur Atiq Maisarah Suhaimi

KUALA LUMPUR, 8 Julai (Bernama) -- Suruhanjaya Antara Kerajaan ASEAN mengenai Hak Asasi Manusia (AICHR) menyasarkan dua deklarasi penting, diterima pada Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 pada Oktober ini, menandakan satu langkah besar agenda hak asasi manusia di rantau ini di bawah Kepengerusian ASEAN Malaysia.

Wakil Malaysia ke AICHR Edmund Bon Tai berkata kedua-dua deklarasi tersebut iaitu “Deklarasi ASEAN Mengenai Hak kepada Alam Sekitar yang Selamat, Bersih, Sihat dan Mampan” dan “Deklarasi Mengenai Pemajuan Hak kepada Pembangunan dan Keamanan, Ke Arah Mewujudkan Pembangunan Inklusif dan Mampan”, telah disediakan selama dua tahun dan kini hampir siap.

“Ia akan menjadi satu deklarasi bersejarah jika kita boleh menerimanya. Ia akan menjadi deklarasi kedua mengenai hak asasi manusia yang diterima ASEAN, sejak Deklarasi Hak Asasi Manusia ASEAN pada 2012,” katanya kepada pemberita selepas Mesyuarat Antara Menteri Luar ASEAN bersama wakil AICHR di sini pada Selasa.

Beliau berkata AICHR sedang berusaha menyediakan “Deklarasi ASEAN Mengenai Hak kepada Alam Sekitar yang Selamat, Bersih, Sihat dan Mampan” dan ia telah menerima sokongan yang kuat - diketuai Malaysia - untuk penerimaannya semasa sidang kemuncak pada Oktober.

“Inisiatif itu, sebagai tindak balas terhadap kebimbangan yang semakin meningkat di rantau ini mengenai perubahan iklim, pencemaran, dan perpindahan komuniti akibat kemerosotan alam sekitar,” katanya.

Bon berkata deklarasi tersebut akan menggabungkan prinsip penting hak asasi manusia seperti hak kepada penyertaan awam, hak dalam membuat keputusan berkaitan alam sekitar, kebebasan maklumat dan akses kepada keadilan.

“Sebagai contoh, jika berlaku pencemaran, apa yang perlu anda lakukan? Deklarasi ini menyediakan rangka kerja untuk tindakan,” katanya dan menambah bahawa deklarasi kedua yang sedang diusahakan ialah mengenai hak kepada pembangunan dan keamanan, yang dibina berdasarkan komitmen hak asasi manusia ASEAN, yang telah sedia ada sejak 2012.

Beliau berkata hak kepada pembangunan merupakan konsep yang unik untuk ASEAN, yang melangkaui pertumbuhan ekonomi bagi merangkumi pembangunan politik, sosial, dan budaya.

“Jika kita berjaya menerima kedua-dua deklarasi ini pada Oktober, buat pertama kalinya dalam tempoh 13 tahun, ASEAN menerima dua deklarasi hak asasi manusia dalam satu tahun.

“Deklarasi ini penting, kerana setelah diterima ia menjadi instrumen yang boleh diharapkan oleh masyarakat di ASEAN. Itulah tujuan suruhanjaya ini - untuk mendekatkan hak asasi manusia kepada rakyat, menjadikannya nyata dan bukan sekadar idea abstrak di atas kertas,” katanya.

Bon yang kini mempengerusikan AICHR, turut menekankan usaha suruhanjaya itu untuk memperkukuh pendekatan ASEAN dalam pembinaan keamanan, terutamanya sebagai tindak balas kepada konflik serantau yang sedang berlangsung.

Beliau berkata AICHR telah mengadakan bengkel untuk membangunkan “templat” atau rangka kerja yang boleh digunakan ASEAN setiap kali konflik berlaku, sama ada untuk dalam negara atau antara negara.

“Ia bukan hanya mengenai Myanmar atau Palestin. Kami cuba menghasilkan pendekatan yang konsisten dan berinstitusi untuk keamanan. Pada masa ini, tindak balas nampak bersifat adhoc,” katanya, sambil menambah bahawa AICHR juga memberi tumpuan untuk menyokong Utusan Khas ASEAN ke Myanmar dan mencari cara untuk mengukuhkan Konsensus Lima Perkara ASEAN dalam menangani krisis di negara itu.

Dalam perkembangan lain, Bon berkata Malaysia telah mencadangkan supaya 18 Nov ditetapkan sebagai Hari Hak Asasi Manusia ASEAN.

“Saya (Malaysia) mencadangkan, kami belum membuat keputusan lagi, para pemimpin belum membuat keputusan, tetapi kami mencadangkan 18 Nov sebagai Hari Hak Asasi Manusia ASEAN,” katanya.

Sementara itu, wakil Vietnam ke AICHR Nguyen Trung Thanh berkata ahli ASEAN harus mengukuhkan ASEAN sebagai sebuah keluarga dan dinamik progresif untuk terus maju.

“ASEAN mesti ada untuk ASEAN. Dipacu oleh ASEAN, berpaksikan ASEAN, berpaksikan rakyat, dipacu oleh ASEAN, dimotivasi oleh ASEAN dan untuk kepentingan ASEAN dalam dunia yang berubah,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan