BATU PAHAT, 30 Jun (Bernama) -- Kerajaan Johor komited memperkasakan elemen sejarah dan kebudayaan sebagai antara teras utama sektor pelancongan dengan matlamat membuka mata pengunjung tempatan serta antarabangsa.
Pengarah Tourism Johor Mohammad Nazrul Abd Rahim berkata pelbagai usaha dan promosi akan dilaksanakan secara menyeluruh sempena Tahun Melawat Johor 2026 bagi menampilkan sisi negeri ini yang kaya dengan warisan sejarah, seni persembahan dan kebudayaan tradisional.
“Antaranya Berek JKR Parit Sulong yang kini dikenali Galeri Parit Sulong. Ia berfungsi sebagai muzium mini dan pernah menjadi saksi bisu kepada pertempuran sengit antara tentera Berikat (Komanwel) dan tentera Jepun semasa Perang Dunia Kedua,” katanya kepada Bernama semasa program Yok Ronda BP, di sini hari ini.
Beliau berkata lokasi itu juga mencatat detik penting dalam sejarah negara apabila menjadi medan pertempuran terakhir di Tanah Melayu sebelum tentera Jepun menyerang Singapura dan menewaskan pasukan tentera yang diketuai Leftenan Adnan.
Mohammad Nazrul berkata selain sejarah, Johor turut kaya dengan pelbagai bentuk seni persembahan dan budaya seperti ghazal dan pembuatan gambus, yang kini semakin kurang dikenali dalam kalangan generasi muda.
“Kami akan terus memartabatkan seni budaya ini sebagai sebahagian daripada produk pelancongan. Tourism Johor juga akan bekerjasama dengan agensi lain termasuk Yayasan Warisan Johor (YWJ) bagi memastikan usaha ini berjaya,” katanya.
Beliau berkata selain itu, pelbagai hasil industri kecil dan sederhana (IKS) seperti kerepek dan makanan ringan tradisional akan turut dipromosikan sebagai tarikan pelancongan sepanjang kempen berlangsung.
Mohammad Nazrul berkata usaha mempromosikan warisan sejarah, seni dan kebudayaan Johor tidak akan terhenti selepas kempen Tahun Melawat Johor 2026, malah akan diteruskan sebagai agenda jangka panjang kerajaan negeri.
Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi sebelum ini mengumumkan sasaran kehadiran 12 juta pelancong domestik dan antarabangsa serta kutipan hasil pelancongan sebanyak RM42 bilion pada tahun hadapan.
Kerajaan negeri juga memperuntukkan RM116.35 juta bagi menaik taraf kemudahan awam dan mempertingkatkan tarikan pelancongan bagi menjayakan kempen berkenaan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial