AM

Kerajaan Sedia Terima Teguran Berhubung Sistem Percukaian - PM Anwar

30/06/2025 10:46 AM

PUTRAJAYA, 30 Jun (Bernama) -- Kerajaan sentiasa mengamalkan keterbukaan dan sedia menerima sebarang teguran berhubung sistem percukaian, tetapi ia perlu berlandaskan kepada fakta yang tepat, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Berucap pada majlis perjumpaan bulanan Perdana Menteri Bersama Warga Jabatan Perdana Menteri di sini hari ini,  Anwar berkata sebarang kritikan adalah diterima, tetapi perlu melalui saluran betul serta tidak bersifat fitnah dan berunsur maki hamun.

“Saya lihat ada beberapa mahasiswa mengeluh tentang pelarasan bil elektrik, saya tidak faham. Kadar elektrik tak naik, adakah benar dia terkesan. Kalau benar, kita harus betulkan kerana universiti awam dikecualikan...

“Hal-hal ini umpamanya kalau disebar kerana kebebasan, itu akan jadi ruang fitnah, ruang maki hamun. Jadi saya harap saudara saudari, adik-adik atau anak-anak, tolong berikan fakta, saya tidak ada masalah orang menegur dan mengkritik,” katanya.

Anwar berkata pelarasan tarif elektrik dan peluasan skop Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) adalah bagi memastikan golongan mempunyai kemampuan kewangan tinggi boleh menyumbang bahagian yang lebih adil, di samping melindungi sebahagian rakyat daripada tekanan kewangan tidak wajar.

“Cukai yang kita bagi (laksanakan), kalau boleh tidak mahu bebankan rakyat, tetapi andai kata ada satu dua yang terkena (terkesan), boleh kita baiki, tapi untuk mengatakan menentang kenaikan (pelarasan) elektrik, saya fikir itu tak betul,” katanya.

Pada 9 Jun lepas, kerajaan mengumumkan semakan bersasar kadar Cukai Jualan dan peluasan skop Cukai Perkhidmatan yang akan berkuat kuasa mulai 1 Julai ini.

Pada 13 Jun lepas pula, Suruhanjaya Tenaga (ST) memaklumkan lebih 23.6 juta pengguna domestik di Semenanjung akan menikmati kadar elektrik lebih adil dan progresif menerusi pelaksanaan jadual tarif elektrik baharu yang diluluskan kerajaan yang berkuat kuasa mulai 1 Julai ini hingga 31 Dis 2027.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan