LABUAN, 29 Jun (Bernama) -- Perkhidmatan feri ekspres Labuan-Kota Kinabalu mencatatkan peningkatan jumlah penumpang sejak kembali beroperasi pada 27 Mei lepas selepas dihentikan selama tiga tahun.
Setakat ini, lebih 3,700 penumpang telah menggunakan laluan berkenaan yang menyaksikan setiap perjalanan dengan kapasiti penuh, iaitu melebihi 100 penumpang.
Pengoperasian semula perkhidmatan yang menghubungkan pulau bebas cukai Labuan dengan ibu negeri Sabah itu turut disambut baik oleh pihak Persekutuan yang menyifatkannya sebagai pemacu penting kepada kesalinghubungan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa berkata perkara itu satu perkembangan penting untuk pertumbuhan sosioekonomi Labuan.
“Perkhidmatan feri ekspres ini bukan sekadar kemudahan pengangkutan, ia adalah penghubung penting kepada rangkaian ekonomi, sosial dan pembangunan,” katanya.
Bercakap kepada pemberita selepas menyambut ketibaan penumpang dari Kota Kinabalu di Terminal Feri Antarabangsa Labuan, Dr Zaliha berkata perkhidmatan itu memudahkan lagi pergerakan komuniti, aktiviti harian, serta pengangkutan barangan dalam rantaian bekalan tempatan.
“Laluan berkenaan menawarkan pilihan lebih mudah dan menjimatkan masa berbanding perkhidmatan feri roll-on/roll-off (Ro-Ro) melalui Menumbok, terutamanya bagi penumpang yang tidak mempunyai kenderaan,” katanya yang turut berpuas hati dengan sambutan menggalakkan itu.
Walaupun feri Ro-Ro lazimnya menjadi pilihan untuk perjalanan ke daerah berdekatan seperti Menumbok, Kuala Penyu, atau Beaufort, feri ekspres ini menyediakan laluan terus ke Kota Kinabalu.
Dr Zaliha berharap supaya pengendali akan terus menambah baik perkhidmatan termasuk memendekkan masa perjalanan bagi memenuhi permintaan yang semakin meningkat.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial