AM

Malaysia, Indonesia Sepakat ASEAN Perlu Bersatu Hadapi Cabaran Global

27/06/2025 10:43 PM

KUALA LUMPUR, 27 Jun (Bernama) -- Malaysia dan Indonesia sependapat bahawa ASEAN yang bersatu padu dan stabil amat penting dalam menghadapi cabaran global semasa, sama ada daripada segi ekonomi, politik mahupun keselamatan.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata perkara itu disepakati dalam pertemuan bersama Presiden Indonesia Prabowo Subianto di Jakarta, sempena lawatan rasmi sehari beliau ke republik itu, hari ini.

“Sebagai dua negara pengasas ASEAN, Malaysia dan Indonesia menegaskan komitmen teguh untuk memastikan perpaduan serantau terus dipelihara dan kestabilan ASEAN dikekalkan.

“Lantas hubungan erat Malaysia-Indonesia akan terus dijadikan teladan dan pemangkin kepada kesatuan ASEAN yang lebih utuh, demi kesejahteraan rakyat kedua-dua negara dan rantau secara keseluruhan,” kata beliau dalam hantaran di Facebook.

Anwar berkata dalam semangat saling percaya, Malaysia dan Indonesia turut berazam untuk menyelesaikan isu sempadan yang masih tertangguh dengan segera.

Perdana Menteri berkata penyelesaian tuntas masalah sempadan termasuk isu maritim yang berlarutan menjadi keutamaan bersama agar kepentingan besar persahabatan dan kerjasama erat Malaysia-Indonesia sentiasa terpelihara.

“Pendekatan menang-menang ini diharap dapat memperkukuh keyakinan dan kepercayaan antara kedua-dua negara tetangga serumpun.

“Keserasian di sudut pandang ini mencerminkan hubungan persahabatan yang akrab serta hubungan strategik yang terjalin kukuh antara kedua-dua negara,” kata beliau.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan