AM

Bernama Anjur Bengkel Pemikiran Kreatif, Latih Pelajar Berfikir Di Luar Kotak

24/06/2025 02:59 PM

SEPANG, 24 Jun (Bernama) -- Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) terus komited dalam memacu pemikiran kreatif pelajar melalui penganjuran Bengkel Pemikiran Kreatif di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Batu Laut, di sini hari ini, sejajar dengan Program Santuni MADANI di bawah Inisiatif Satu Pemimpin, Satu Kampung.

Bengkel sehari itu bertujuan membentuk keyakinan diri pelajar dalam mengemukakan idea baharu serta memperkukuh kemahiran berfikir aras tinggi (KBAT) dan kritis, khususnya dalam penulisan serta penyelesaian masalah.

Penolong Editor Meja Rencana Bernama Erda Khursyiah Basir selaku tenaga pengajar bengkel berkenaan berkata aktiviti yang dijalankan hari ini mendapat sambutan positif dan berjaya menggalakkan pelajar berfikiran di luar kotak.

“Mereka sangat bersemangat dan mahu mempelajari perkara baharu. Contohnya, apabila melihat sesuatu masalah, mereka bukan sahaja mencari satu jalan penyelesaian, sebaliknya, pola pemikiran mereka lebih terbuka, melihat sesuatu perkara itu dari pelbagai sudut.

“Kita juga menggalakkan pelajar untuk berani tampil ke hadapan, menyuarakan idea-idea kreatif mereka, berani bersuara, tetapi dalam masa yang sama, masih menjaga santun dan adab apabila mahu berkongsi tentang sesuatu perkara,” katanya ketika ditemui di sini.

Sementara itu, Pengetua SMK Batu Laut Johan Mohalana Abd Hamid menyifatkan program itu signifikan dalam membentuk keyakinan pelajar selain berupaya meningkatkan prestasi mereka terutamanya dalam menghadapi musim peperiksaan. 

Beliau berkata pendedahan yang diberikan dalam bengkel itu dapat membantu pelajar mengenali potensi diri, serta membantu memilih jurusan dan kerjaya yang sesuai pada masa hadapan.

Bagi pelajar tingkatan empat, Nurul Izzah Zamri, bengkel hari ini sangat menyeronokkan dengan kaedah penyampaian yang menarik dan mudah difahami.

“Saya harap pihak Bernama dapat menganjurkan lagi program-program seperti ini bagi menggalakkan pelajar berfikir secara kreatif dan inovatif,” katanya yang bercita-cita untuk menjadi doktor pakar bedah.

Sementara itu, Bernama turut menganjurkan Bengkel Biblioterapi Siri 2, inisiatif oleh Perpustakaan Digital Bernama di Sekolah Kebangsaan (SK) Batu Laut bertujuan memperluas kaedah biblioterapi dalam kalangan pelajar.

Bengkel itu yang diketuai Pengurus Kanan Perpustakaan Digital Bernama Hasnita Ibrahim merangkap Ketua Penyelaras Program Santuni MADANI, melibatkan 30 pelajar tahun lima yang terpilih, dipenuhi dengan pengisian aktiviti seperti terapi bercerita, terapi buku dan terapi muzik, selain pendedahan asas tentang konsep biblioterapi.

Sebagai usaha untuk menangani isu pendidikan anak-anak penduduk setempat, beberapa lagi program telah dirangka untuk dilaksanakan sepanjang tahun ini antaranya Bengkel Biblioterapi bersiri, Bengkel Penulisan Rencana Kreatif, dan program sukan bersama komuniti kampung.

Program berkenaan akan diteruskan hingga Oktober 2025 melibatkan penyertaan pelajar, guru dan komuniti setempat termasuk sekolah menengah dan pusat komuniti, dengan laporan impak akan dibentangkan pada penghujung siri kelima.

Sebelum ini, Bernama telah menganjurkan program bersempena dengan Hari Buku dan Hak Cipta Sedunia di SK Batu Laut yang dimulakan dengan acara "Jom Baca Bersama 10 Minit", diikuti Bengkel Biblioterapi Siri 1 dan Sesi Bimbingan AKRAB Bernama.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan