EKONOMI

UNIT GAGASAN NADI CERGAS METERAI DRA PROJEK DENGAN NPK LEBIH RM1 BILION

09/12/2024 08:04 PM

 

KUALA LUMPUR, 9 Dis (Bernama) -- Unit Gagasan Nadi Cergas Bhd, Nadi Emery (KKD2) Sdn Bhd (NESB), menandatangani Perjanjian Hak Pembangunan (DRA) dengan Kwasa Development (15) Sdn Bhd (KD15) bagi pembangunan projek rumah mampu milik dengan nilai pembangunan kasar (NPK) lebih RM1 bilion.

KD15, anak syarikat Kwasa Land Sdn Bhd (Kwasa Land) memeterai perjanjian itu untuk melaksanakan projek perumahan dalam kawasan perbandaran Kwasa Damansara, dan Kwasa Land akan berperanan sebagai pemaju induk projek tersebut.

"Berdasarkan DRA itu, NESB perlu membayar KD15 sejumlah RM35.6 juta bagi hak pembangunan untuk mereka bentuk dan membina 4,183 unit rumah mampu milik di atas tanah seluas 14.12 hektar," menurut Gagasan Nadi Cergas dalam kenyataan hari ini.

Projek itu merupakan kerjasama kedua Gagasan Nadi Cergas dengan Kwasa Land, selepas pecah tanah bagi satu lagi projek 1,669 unit rumah mampu milik di Plot R4-1 di Kwasa Damansara tahun lepas.

Pengarah Urusan Kumpulan Gagasan Nadi Cergas Datuk Wan Azman Wan Kamal berkata DRA itu menandakan kesinambungan perkongsian pihaknya dengan Kwasa Land.

Beliau berkata kedua-dua pihak bekerjasama untuk memastikan bekalan rumah mampu milik mencukupi di Malaysia, terutama di Selangor, memandangkan penduduknya semakin pantas berkembang seiring dengan ekonomi negeri yang kukuh.

Gagasan Nadi Cergas akan membiayai keseluruhan pembangunan melalui gabungan dana dalaman dan pinjaman bank.

Syarikat itu juga sedang membangunkan kira-kira 6,000 unit rumah mampu milik Rumah Idaman di Bukit Jelutong dan Kwasa Damansara, serta lebih 1,000 unit rumah mampu milik Idaman Amani di Bandar Elmina.

Berdasarkan DRA itu, Gagasan Nadi Cergas akan menyiapkan lebih 11,000 rumah mampu milik dalam tempoh lapan tahun akan datang dan mengukuhkan kedudukannya sebagai pemaju hartanah terkemuka dalam pasaran perumahan mampu milik.

Segmen pembinaan syarikat itu adalah berdaya tahan dengan nilai perolehan kontrak dalam tangan berjumlah RM462 juta.

Projeknya yang baru siap termasuk pangsapuri Sakura Residence di Putrajaya, masjid di menara Merdeka 118 di sini dan Pusat Kardiologi di Hospital Serdang.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan