JOHOR BAHRU, 1 Ogos (Bernama) -- Pemerkasaan sistem kesihatan menerusi Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) dilihat bakal meningkatkan keberkesanan perkhidmatan kesihatan, selain menjamin keterjaminan bekalan perubatan.
Peluasan penggunaan ubat generik dalam sektor awam dan swasta serta pemerkasaan pengurusan rekod kesihatan menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) disambut baik oleh petugas kesihatan yang menyifatkannya sebagai langkah ke hadapan.
Penyelia Jururawat Aziahtun Akma Mohd Sarkawi, 48, berkata penggunaan ubat generik bukan sahaja menjimatkan kos rawatan, malah membolehkan lebih ramai rakyat mendapat akses kepada ubat-ubatan penting.
“Cadangan itu kita anggap baik dan sebenarnya lebih mudah serta cepat juga bagi pesakit untuk memperoleh ubat-ubatan. Selain itu, ia juga boleh mengurangkan kos sekali gus mengurangkan beban pesakit, jadi bagi saya langkah ini sangat positif.
“Mengenai sistem pengurusan rekod kesihatan yang akan diperkasa dengan AI pula, saya fikir ia bagus dan positif. Ia boleh menjadikan pengurusan rekod lebih cepat dan cekap, sekali gus memperbaiki mutu perkhidmatan,” katanya.
“AI berpotensi mengurangkan kesilapan dalam pengurusan maklumat pesakit dan membantu meningkatkan keberkesanan rawatan,” katanya yang telah berkhidmat selama 27 tahun dalam bidang kesihatan.
Ahli Farmasi Nurul Syamimi Mohamed Sofi, 26, berpandangan bahawa saranan untuk mempeluas penggunaan ubat generik adalah tepat dan selaras dengan Dasar Ubat Nasional (DUNas) yang mampu memberi manfaat besar kepada rakyat.
“Penggunaan ubat generik lebih mudah dan cepat diakses oleh pesakit. Ia juga dapat mengurangkan kos kepada mereka kerana ubat generik merupakan alternatif berpatutan yang boleh meningkatkan ketersediaan ubat di fasiliti kesihatan negara.
“Harga ubat generik yang lebih murah dapat mengurangkan kos rawatan keseluruhan, sama ada kepada pesakit individu mahupun sistem kesihatan awam. Ini membolehkan peruntukan kerajaan digunakan dengan lebih berkesan untuk bidang kesihatan lain. Kualiti dan keberkesanan ubat generik juga terjamin dari segi keselamatan dan kaedah penggunaan.
“Tentang penggunaan AI pula, pada saya memang banyak lagi yang perlu kita pelajari tetapi kita tidak boleh menafikan kelebihannya dalam memudahkan rawatan dan pengurusan kesihatan di negara kita,” katanya.
RMK13 yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyaksikan tumpuan serius kerajaan terhadap sektor kesihatan, termasuk langkah-langkah strategik untuk meningkatkan kecekapan sistem dan memperluas akses rakyat kepada penjagaan kesihatan berkualiti.
Sebanyak RM40 bilion diperuntukkan di bawah RMK13 dalam usaha kerajaan melaksanakan reformasi sektor kesihatan.
Antara yang diberi penekanan termasuk perluasan penggunaan ubat generik oleh sektor awam dan swasta, selain lebih banyak projek pembinaan serta naik taraf hospital dan klinik kerajaan, termasuk kemudahan daif yang akan dinaik taraf.
Turut diberi tumpuan ialah sistem pengurusan rekod kesihatan yang akan diperkukuh sebagai teras pendigitalan sistem kesihatan, serta diperkasakan dengan AI bagi meningkatkan keupayaan saling kebolehkendalian antara fasiliti kesihatan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial