MELAKA, 10 Jun (Bernama) -- Persiapan sambutan Hari Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Negara 2025 yang akan berlangsung selama tiga hari bermula esok di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh di sini, berjalan lancar.
Jurucakap bagi Perbadanan Melaka, yang bertindak sebagai Sekretariat Majlis TVET negeri, berkata semua wakil daripada pelbagai kementerian dan syarikat swasta giat menyiapkan hiasan di reruai pameran dan informasi masing-masing bagi memudahkan pengunjung mendapatkan maklumat yang dikehendaki.
Beliau berkata sebanyak empat segmen disediakan untuk pengunjung dan segmen pertama terbahagi kepada empat hab iaitu Pameran TVET, Keusahawanan TVET, Kerjasama Industri serta Infotainmen TVET.
"Hab Pameran TVET memaparkan kejayaan graduan bidang berkenaan serta program TVET yang ditawarkan kementerian terlibat manakala hab Keusahawanan TVET pula mengisahkan kejayaan usahawan TVET dan pameran produk usahawan terlibat.
"Bagi hab Kerjasama Industri, ia melibatkan pameran teknologi oleh industri, perkongsian amalan terbaik, kisah kejayaan dan ceramah kerjaya manakala hab Infotainmen TVET menyediakan aktiviti konsultasi latihan dan kerjaya, aktiviti interaktif, persembahan kebudayaan dan permainan e-sukan," katanya kepada Bernama di sini hari ini.
Beliau berkata segmen kedua iaitu hab Konvensyen TVET melibatkan penganjuran seminar TVET dan pembentangan kertas kerja persidangan sementara segmen ketiga ialah hab Karnival Kerjaya TVET melibatkan temuduga terbuka industri, MyFutureJob dan Karnival Kerjaya.
Segmen keempat pula ialah Pertandingan Kemahiran TVET meliputi peluncuran penyertaan Malaysia ke WorldSkills ASEAN Manila 2025, Pertandingan Peringkat Pra-Kelayakan WorldSkills Malaysia dan Junior Skills Malaysia, ASEAN TVET Friendly Match 2025 dan Try-A-Skill: Virtual Drone Racing.
Sambutan Hari TVET Negara 2025 yang bertemakan 'TVET Pilihan Utama Kerjaya' itu meliputi sembilan konsep pameran mengikut sektor utama bidang tersebut iaitu Pengangkutan dan Automotif; Aeroangkasa; Elektronik dan Digital; Pembuatan Termaju; Tenaga; Rel dan Maritim; Perladangan, Pertanian dan Penternakan; Pembinaan; dan Perkhidmatan.
"Dianggarkan kira-kira 5,000 peluang pekerjaan dalam pelbagai bidang ditawarkan lebih 60 syarikat dan majikan dari dalam dan luar Melaka kepada pencari kerja yang berminat.
"Hadiah terkumpul berjumlah RM10,000 ditawarkan bagi Kejohanan e-Sport Hari TVET Negara 2025 melibatkan 32 pasukan dan sebanyak tiga jenis permainan dipertandingkan, antaranya Mobile Legends Bang Bang," katanya sambil menambah kira-kira 100,000 pengunjung dijangka menghadiri sambutan itu.
Hari TVET Negara, yang disambut pada 2 Jun setiap tahun, merupakan manifestasi komitmen dan iltizam kerajaan untuk menjadikan bidang itu sebagai platform utama dalam melahirkan tenaga kerja masa depan yang dinamik, berkemahiran serta berdaya saing.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial