AM

Felda Guna Teknologi Mesra Alam Laksana Ibadah Korban

10/06/2025 05:09 PM

KUALA LUMPUR, 10 Jun (Bernama) -- Gabungan teknologi moden, pendekatan mesra alam dan pengurusan tersusun menjadikan Program Qurban Berkat Kumpulan Felda tahun ini bukan sekadar ibadah, tetapi juga satu model rujukan baharu bagi pelaksanaan korban secara sistematik dan lestari.

Pengarah program merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Waqaf Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) Hisyam Ahmad berkata program berkenaan ditambah baik dengan pendekatan lebih moden dan tersusun menggunakan kaedah sembelihan secara mesin selain manual yang turut sama digunakan.

Beliau berkata sebanyak 19 ekor lembu dikorbankan untuk tahun ini dengan tujuh ekor disembelih secara manual di pekarangan Dewan Perdana Felda manakala 12 ekor disempurnakan di Rumah Sembelihan Veterinar Shah Alam menggunakan mesin sembelih berpusat dan profesional. 

"Penggunaan cold truck membantu memastikan daging disimpan dan diagihkan dalam keadaan bersih, segar dan berkualiti.

"Ia bukan sahaja meningkatkan efisien masa dan keselamatan makanan, malah turut membolehkan program ini dikembangkan pada skala lebih besar pada masa akan datang," katanya pada program itu di pekarangan Dewan Perdana Felda di sini hari ini, yang turut dihadiri Pengerusi Felda Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.

Selain pendekatan mesra alam, beliau berkata hebahan, pengesahan wakalah dan invois turut dilakukan secara digital sepenuhnya secara dalam talian seperti e-sijil korban kepada semua penama.

"Semoga program ini menjadi amalan tahunan penuh makna, bukan sahaja sebagai ibadah, tetapi juga sebagai simbol kesatuan, nilai ihsan dan kasih sayang dalam keluarga besar Felda.

"Dengan penambahbaikan yang dilakukan, kita percaya bahawa Program Qurban Berkat Kumpulan Felda 2025 akan menjadi model rujukan bagi pelaksanaan ibadah korban yang sistematik, profesional dan inklusif," katanya.

Hisyam berkata beberapa tambah nilai turut dilakukan untuk menjadikan program tahun ini lebih terurus, hijau, dan telus menerusi penglibatan 14 anak syarikat, koperasi dan surau yang merupakan simbol kekuatan sinergi dalam Kumpulan Felda.

Beliau turut berterima kasih kepada semua penyumbang dan peserta korban yang memberi kepercayaan kepada Felda, petugas, sukarelawan dan penyelaras yang bertungkus-lumus menjayakan program serta penternak dari Pusat Integrasi Ternakan Chuping (PITC) yang membekalkan lembu berkualiti tinggi.

“Program ini menunjukkan komitmen berterusan dan konsisten syarikat-syarikat dalam Kumpulan Felda untuk bersama-sama menjayakan ibadah korban setiap tahun.

"Hal ini menunjukkan bahawa semangat berkorban dan menyantuni komuniti tetap utuh, walaupun dalam keadaan ekonomi yang mencabar," katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan