EKONOMI

MyAxis Jangka Kemudahan Baharu Sumbang Perolehan Pada Suku Kedua Tahun Kewangan 2026

30/06/2025 05:54 PM

KUALA LUMPUR, 30 Jun (Bernama) -- Pemproses dan pengedar daging MyAxis Group Bhd menjangka kemudahan pemprosesan baharu di Bukit Kayu Hitam, Kedah akan mula menyumbang kepada perolehan pada suku kedua tahun kewangan 2026.

Tahun kewangan semasa syarikat itu akan berakhir pada 31 Julai 2025.

Pengerusi Eksekutifnya Datuk Tan Hwa Sing berkata syarikat bercadang untuk melabur sebanyak RM11.3 juta bagi kemudahan baharu itu, yang akan menggandakan kapasiti pemprosesan ayam itik tahunan syarikat kepada 708 tan dan meningkatkan tiga kali ganda kapasiti pengendalian daging merah kepada 1,870 tan.

"Kemudahan baharu itu juga akan meningkatkan kapasiti penyimpanan kepada 566.0 tan daripada 53.0 tan pada masa ini," katanya pada sidang media bersempena dengan penyenaraian syarikat itu hari ini.

Beliau berkata berikutan berikutan penyenaraian syarikat itu di Pasaran LEAP hari ini, ia bercadang untuk berpindah ke Pasaran ACE dalam masa dua tahun.

Tan berkata syarikat itu telah menceburi sektor huluan dalam pemprosesan dan penjualan produk ayam itik dan daging merah melalui anak syarikat milik penuhnya KK Fresh Frozen Sdn Bhd.

"Dengan peningkatan kapasiti pemprosesan dan penyimpanan ini, kumpulan menyasarkan untuk mengembangkan jumlah pelanggan, khususnya dalam kalangan penyedia makanan dan minuman, rangkaian hotel dan pengeluar makanan yang diproses.

“Kami telah meningkatkan jumlah pelanggan kepada 300 di seluruh negara berbanding hanya 20 pelanggan pada 2024," katanya.

Kemudahan pemprosesan baharu dengan keluasan binaan 17,567.76 kaki persegi itu dijangka beroperasi sepenuhnya menjelang 2026.

Ketika ditanya mengenai bekalan produk ayam itik, Tan berkata sebanyak 50 peratus produknya diimport dari Thailand manakala selebihnya dari Malaysia dan China.

“Kami menjangka nisbah peratusan ini akan kekal hampir sama, dengan produk import dari Thailand, memastikan kualiti produk untuk daging sejuk beku,” katanya.

MyAxis menyasarkan untuk mengumpul sebanyak RM5.29 juta melalui tawaran saham persendirian sebanyak 44.1 juta saham baharu pada harga 12 sen setiap satu, menjadikan permodalan pasaran sebanyak RM40.9 juta selepas penyenaraian itu.

Hasil berkenaan akan digunakan untuk membayar semula pinjaman bank (RM3 juta), membeli jentera baharu, menyokong modal kerja, meningkatkan penjenamaan dan pemasaran, dan membiayai perbelanjaan penyenaraian.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan