EKONOMI

Exabytes, AWS & Forward College Tubuh Pusat Awan Pacu Inovasi Digital, Korporat

26/06/2025 06:02 PM

GEORGE TOWN, 26 Jun (Bernama) -- Penyedia penyelesaian digital, Exabytes dengan kerjasama Amazon Web Services (AWS) dan Forward College menubuhkan Pusat Kecemerlangan Awan (CCoE) di Pulau Pinang.

Dalam kenyataan hari ini, syarikat itu berkata pusat berkenaan diwujudkan bagi memperkasa kepakaran awan AWS, mempercepat pendigitalan perniagaan serta membangunkan tenaga kerja yang bersedia untuk masa hadapan di Malaysia, Singapura dan Indonesia.

CCoE akan berfungsi sebagai hab inovasi serantau, membantu perniagaan berkembang menggunakan teknologi AWS serta melahirkan bakat awan melalui kerjasama dengan institusi pendidikan terkemuka.

Pengasas merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Exabytes Chan Kee Siak berkata kerjasama erat dengan AWS dan Forward College mempercepatkan penerapan teknologi awan dan membuka akses kepada kerjaya digital bernilai tinggi, terutamanya dalam kalangan belia dari komuniti kurang mendapat liputan.

Sebagai komitmen ke arah pertumbuhan inklusif, Exabytes turut menaja pengajian tinggi untuk 20 pelajar daripada kumpulan B40 menerusi kerjasama dengan Forward College.

Selepas tamat pengajian, mereka akan ditawarkan peluang pekerjaan selama tiga tahun bersama Exabytes Group bagi menyokong mobiliti ekonomi masing-masing.

Pengurus Besar Negara AWS Malaysia Pete Murray berkata kepimpinan Exabytes dalam bidang teknologi awan dan kecerdasan buatan (AI) akan menjadi pemacu kepada pertumbuhan ekonomi digital dan memperkukuh keupayaan digital di seluruh Asia Tenggara, bermula di Pulau Pinang.

“Kerjasama dengan Exabytes dan Forward College membolehkan perniagaan berinovasi secara pantas, selamat dan berskala menggunakan AWS, di samping menyumbang kepada penciptaan pekerjaan dalam ekonomi digital Malaysia,” katanya.

Exabytes juga merancang untuk menganjurkan acara industri di bawah inisiatif CCoE di Pulau Pinang, Kuala Lumpur, Singapura dan Indonesia.

AWS, iaitu platform pengkomputeran awan komprehensif yang ditawarkan oleh Amazon, kini melabur secara besar-besaran di Malaysia, dengan perancangan untuk melabur kira-kira US$6.2 bilion (US$1=RM4.22) sehingga 2038.

Pelaburan ini yang memberi tumpuan kepada pembangunan rantau AWS Asia Pasifik (Malaysia) termasuk pusat data dan infrastruktur awan baharu, dijangka memberi lonjakan besar kepada ekonomi digital negara serta menyumbang kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

-- BERNAMA 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan