EKONOMI

Penurunan 100 Mata Asas SRR Oleh BNM Beri Ruang Nilai Kesan Tarif AS

13/05/2025 02:46 PM

KUALA LUMPUR, 13 Mei (Bernama) -- Penurunan 100 mata asas dalam nisbah Keperluan Rizab Berkanun (SRR) oleh Bank Negara Malaysia (BNM) pada Khamis lepas memberi sedikit ruang kepada Jawatankuasa Dasar Monetari menilai kesan tarif Amerika Syarikat (AS) terhadap eksport, kata Moody’s Analytics.

Ahli Ekonominya Sunny Nguyen berkata langkah itu juga akan memberi masa kepada bank pusat untuk menentukan sama ada lonjakan inflasi baru-baru ini yang dipacu oleh subsidi merupakan sesuatu yang bersifat sementara.

Lebih penting, katanya, ia juga akan menilai langkah seterusnya oleh Rizab Persekutuan AS (Fed).

"SRR yang lebih rendah membolehkan bank memberi lebih banyak pinjaman, sekali gus merangsang pertumbuhan ekonomi dengan meningkatkan ketersediaan kredit.

"Suntikan mudah tunai merupakan setara dengan melonggarkan tali leher sekiranya anda memutuskan untuk menukar baju," katanya dalam satu nota penyelidikan hari ini.

Mengenai Kadar Dasar Semalaman (OPR), Nguyen berkata BNM berkemungkinan mengekalkannya pada kadar tiga peratus sehingga Ogos.

Beliau menjelaskan berdasarkan corak terdahulu, BNM lazimnya memulakan langkah pelonggaran dengan menurunkan SRR terlebih dahulu diikuti dengan penurunan kadar faedah selepas data mengesahkan kelembapan ekonomi dan kebimbangan terhadap inflasi reda.

"Strategi ini mengurangkan tekanan ke atas ringgit dengan memberikan kelegaan segera kepada bank sambil meyakinkan pelabur asing iaitu jurang hasil antara Malaysia dan AS tidak akan mengecil dengan terlalu cepat," katanya.

Nguyen berkata situasi ini menunjukkan kemungkinan penurunan kadar sebanyak 25 mata asas kepada 2.75 peratus pada September bergantung kepada indeks harga pengguna utama yang dijangka meningkat apabila subsidi ke atas bahan api RON95 ditarik balik secara berperingkat.

Namun, inflasi mesti kekal dengan jelas di bawah tiga peratus tahun ke tahun apabila Fed meneruskan kitaran pelonggarannya iaitu sesuatu yang dipaparkan secara berhati-hati oleh pasaran niaga hadapan yang mungkin bermula pada September.

"Jika Fed bertindak terlebih dahulu, tekanan ke atas ringgit akan berkurang selain memberikan ruang kepada BNM untuk mengurangkan tanpa rasa takut terhadap kesan mendadak terhadap mata wang tempatan," katanya.

Beliau menambah kadar dana Fed yang lebih rendah juga akan mempengaruhi pertumbuhan Malaysia dan pembiayaan global yang lebih murah akan membantu mengurangkan kesan tarif terhadap sektor elektronik Malaysia yang bergantung kepada eksport.

Katanya, ia juga meringankan beban peralihan hutang korporat era pandemik.

"Bagi prospek yang lebih luas, kami menjangkakan kedua-dua bank pusat akan mengurangkan kadar pada September. Pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebenar dijangka mereda kepada kira-kira empat peratus berbanding lima peratus pada 2024 dan diunjurkan pada 3.9 peratus pada 2026.

"Permintaan domestik akan kekal sebagai enjin utama ekonomi yang dipacu oleh kenaikan gaji sektor awam dan pembinaan Projek Laluan Rel Pantai Timur," katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan