AM

Mangsa Penipuan Haji Diminta Tampil Buat Aduan Rasmi - Mohd Na’im

17/06/2025 05:39 PM

KUALA LUMPUR, 17 Jun (Bernama) -- Individu yang menjadi mangsa penipuan haji diminta tampil membuat aduan rasmi kepada Lembaga Tabung Haji (TH) bagi membolehkan siasatan dijalankan segera.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata laporan yang dibuat akan disusuli siasatan terperinci bagi membolehkan Jabatan Peguam Negara mengambil tindakan pendakwaan terhadap individu atau syarikat yang terlibat di bawah Seksyen 27 Akta Tabung Haji 1995.

“Diharapkan mana-mana mangsa turut membuat laporan polis supaya siasatan dapat dijalankan terhadap pihak yang menawarkan pakej haji tetapi akhirnya gagal menunaikannya dan wang yang dibayar pula tidak diketahui ke mana,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Majlis Apresiasi Ejen Kutipan Zakat PPZ-MAIWP 2024 di sini, hari ini.

Mohd Na’im berkata pihaknya telah melakukan pelbagai cara untuk mengekang kes penipuan termasuk mengeluarkan tidak kurang daripada 10 kenyataan media setiap kali tiba musim haji bagi mengingatkan orang ramai supaya berhati-hati dan tidak menjadi mangsa penipuan pihak tidak bertanggungjawab.

Dalam pada itu, beliau turut melahirkan rasa kesal terhadap tindakan segelintir pihak tidak bertanggungjawab yang menggunakan tokoh agamawan tertentu bagi meyakinkan orang ramai menyertai pakej haji yang ditawarkan syarikat mereka.

“Kita sedih apabila ada yang memperalatkan agama dan individu bergelar agamawan untuk menipu rakyat sedangkan agama tidak boleh dijadikan asas untuk melakukan penipuan,” katanya.

Sehubungan itu, beliau turut mengingatkan para agamawan agar tidak terlibat secara langsung atau tidak langsung dalam kegiatan sedemikian sebaliknya membantu kerajaan dan TH membentuk masyarakat Islam yang patuh kepada undang-undang.

Media sebelum ini melaporkan sebanyak 47 jemaah Malaysia didakwa menjadi mangsa penipuan ejen haji tempatan yang dipercayai membabitkan seorang agamawan terkenal.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan