AM

P10x Academy Sasar Lahirkan Lebih 2,000 Tenaga Mahir Tempatan

17/06/2025 05:22 PM

PUTRAJAYA, 17 Jun (Bernama) -- Institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) swasta P10X Academy Sdn Bhd menyasarkan lebih 2,000 tenaga mahir tempatan dapat dilahirkan dalam tempoh lima tahun selaras dengan pelan pengembangannya ke Johor dan Sarawak.

Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengasas P10X Academy William Lee berkata akademi itu bukan sahaja menawarkan latihan teknikal malah berhasrat membina laluan kerjaya dan keusahawanan baharu untuk golongan muda.

"Ini (sasaran lahirkan tenaga mahir) bukan sekadar angka tetapi satu komitmen besar kami untuk membentuk tenaga kerja tempatan yang berkemahiran tinggi dalam bidang kecantikan automotif.

“Kami ingin melahirkan tenaga kerja mahir yang bukan sahaja profesional tetapi juga mampu membuka peluang kerjaya dan perniagaan, terutamanya kepada belia dan komuniti di kawasan desa dan wilayah," katanya pada majlis pelancaran P10X Academy Sdn Bhd oleh Menteri Sumber Manusia Steven Sim di sini hari ini.  

Beliau berkata pihaknya komited menjayakan agenda TVET selaras dengan kerajaan dalam membentuk ekosistem TVET nasional yang terangkum.

“TVET terutama dalam bidang kecantikan automotif mempunyai potensi sangat besar dan mendapat permintaan tinggi,” katanya menambah, bidang ini bakal menjadi pemacu kepada ekonomi negara. 

P10X Academy yang ditubuhkan pada 2023, merupakan institusi TVET memberi tumpuan kepada latihan teknikal dalam bidang pemasangan cermin gelap, aksesori kenderaan dan penjagaan cat. 

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan