AM

Rumah Ngaji Anjur Bacaan Yasin, Tahlil Dan Doa Selamat Mangsa Beberapa Tragedi Maut

13/06/2025 07:59 PM

IPOH, 13 Jun (Bernama) -- Lebih 300 jemaah menyertai Majlis Bacaan Yasin, Tahlil dan Doa Selamat berikutan beberapa peristiwa menyayat hati yang berlaku dan melibatkan rakyat di negeri Perak termasuk nahas bas yang mengorbankan 15 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) baru-baru ini.

Pengerusi Rumah Ngaji Perak Robaatun Hadayiah Harun berkata majlis itu diadakan bagi mendoakan semua mangsa yang terlibat dalam tragedi-tragedi menyedihkan sepanjang tahun lepas dan tahun ini. 

“Sebelum ini kita dikejutkan dengan insiden nahas dua helikopter Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang mengorbankan 10 anggota pada 23 April tahun lepas, kemudian kemalangan trak Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) mengorbankan sembilan nyawa (13 Mei), lima sekeluarga dari Bota yang maut di Jerantut dan terkini 15 pelajar UPSI maut dalam kemalangan tragis di Gerik. 

“Kesemua insiden ini begitu menyayat hati dan kami zahirkan rasa sedih serta simpati kepada mangsa yang terkorban termasuk keluarga mereka dengan menganjurkan majlis ini selain sokongan moral,” katanya ketika ditemui media di sini hari ini.

Robaatun Hadayiah berkata majlis itu turut dianjurkan bersama pengurusan Masjid Sultan Idris Shah II, Pertubuhan Wanita Prihatin Perak dan Lembaga Kebajikan Perempuan Islam Malaysia. 

Beliau berkata usahasama itu diharap dapat menyatukan ummah dalam menghadapi ujian serta mendoakan agar negeri Perak dan seluruh negara sentiasa dilindungi daripada sebarang musibah.

Terdahulu, majlis dimulakan dengan solat Asar disusuli dengan bacaan Yasin, tahlil dan doa selamat dipimpin Imam Besar Masjid Sultan Idris Shah II (Masjid Negeri Perak) Abd Farid Salleh bagi memperingati kesemua mangsa yang meninggal dunia.

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan