SIBU, 10 Ogos (Bernama) -- Program khidmat bantuan Kementerian Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti (KPWK) Sarawak bersama rakan strategik, akan diperluas ke 13 zon di seluruh negeri.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak Datuk Seri Fatimah Abdullah berkata pelaksanaan pada peringkat zon tengah yang melibatkan lapan kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Sarawak, merupakan program perintis.
“Kita merancang menjalankan program Outreach di 13 zon seluruh Sarawak. Tiada kawasan terpinggir dan program akan diubah suai mengikut kesesuaian. Jika diadakan di satu kawasan sahaja, skala pelaksanaan diperkecil,” katanya ketika merasmikan program itu di Dewan Kompleks Islam Sarawak di sini hari ini.
Fatimah berkata program bertema “Kamek Prihatin, Kitak Penting” (Kami Prihatin, Anda Penting) itu berlangsung selama dua hari bermula semalam, dengan penyertaan 25 rakan strategik.
Beliau berkata program itu bertujuan memastikan perancangan, dasar serta inisiatif kerajaan negeri dapat disampaikan kepada pemimpin akar umbi dan wanita, ketua kaum atau masyarakat untuk dikongsikan dengan penduduk dan orang ramai.
Beliau menegaskan banyak inisiatif termasuk program memajukan ekonomi Sarawak dan meningkatkan kesejahteraan rakyat telah dilaksanakan oleh kerajaan negeri.
Selain itu, peningkatan hasil pendapatan negeri juga dikembalikan kepada rakyat melalui pelaksanaan pelbagai program dan inisiatif.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial