BERITA TERGEMPAR   Coordination of aid for Pantai Dalam fire victims, meeting sessions with victims and shop operators to be arranged – Fahmi | 
 AM

Lebih 20 NGO Sertai Himpunan Nasional "Malaysia Bangkit Untuk Gaza" Sabtu Ini

07/08/2025 08:43 PM

KUALA LUMPUR, 7 Ogos (Bernama) -- Lebih 20 pertubuhan bukan kerajaan (NGO), termasuk Yayasan Amal Malaysia, Pertubuhan Himpunan Lepasan Pendidikan Malaysia (HALUAN), Gerakan Pembela Ummah dan Muslim Care Malaysia akan menyertai Himpunan Nasional “Malaysia Bangkit Untuk Gaza” yang dijadual berlangsung Sabtu ini di Dataran Merdeka, di sini.

Pengarah Himpunan Datuk Mohd Apandi Mohamad berkata program anjuran Sekretariat Humanity 4 Gaza (H4G) itu mendapat sokongan pelbagai pihak termasuk agensi kerajaan dan Ahli Parlimen merentas parti.

“Kerjasama yang sangat baik turut diberikan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi memastikan himpunan ini berjalan tertib dan teratur.

“Acara yang dijadualkan pada 4 petang hingga 11 malam itu bermula dengan perarakan aman selepas solat Asar dari beberapa lokasi berhampiran seperti Masjid Negara, Masjid Jamek dan SOGO, sebelum program utama bermula pada 5 petang di Dataran Merdeka,” katanya pada sidang media himpunan berkenaan di sini hari ini.

Beliau berkata himpunan itu turut menampilkan persembahan oleh kumpulan nasyid Far East dan Rabbani, anak-anak Palestin, sesi doa khas serta ucapan pemimpin NGO, masyarakat sivil dan tokoh antarabangsa seperti Dr Marwan dari Kesatuan Ulama Palestin. 

Mohd Apandi berkata himpunan tersebut mengangkat tema kemanusiaan sebagai asas penyatuan semua pihak dengan melangkaui agama dan politik demi menyatakan solidariti rakyat Malaysia dalam menyokong usaha menghentikan genosid di Gaza, membebaskan Al-Aqsa dan mengembalikan hak rakyat Palestin.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan