AM

Persiapan HKHM 2025 Berjalan Lancar, Pelbagai Acara Sampingan Menanti Pengunjung - Fahmi

07/08/2025 01:38 PM

KUALA LUMPUR, 7 Ogos (Bernama) -- Persiapan sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia (HKHM) 2025 berjalan lancar dengan pelbagai acara sampingan dirangka untuk pengunjung yang hadir pada sambutan itu.

Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil berkata kementeriannya telah mengadakan, masing-masing dua mesyuarat jawatankuasa induk sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2025.

“Insya-Allah semua berjalan dengan baik dan lancar. Dari segi perancangan, penyertaan, pihak kementerian masih mendapat permohonan daripada pelbagai pihak untuk turut serta dalam perbarisan.

“Bagi pengunjung, kita sediakan banyak acara sampingan supaya yang hadir, bukan sekadar datang untuk melihat perbarisan, aset-aset dan persembahan, tetapi disediakan juga program yang banyak di sekitar Putrajaya.

“Jadi, ibu bapa, anak-anak, keluarga yang datang, akan dapat menikmati satu suasana yang meriah dan menyeronokkan di sekitar Putrajaya,” katanya kepada pemberita pada Program PENTARAMA Homecoming sempena HKHM 2025 di Sekolah Kebangsaan Bangsar di sini hari ini.

Beliau berkata kementerian juga sedang merangka pelbagai program dan aktiviti sambutan Ambang Hari Kebangsaan 2025 di Putrajaya dan sekitar Kuala Lumpur.

“Saya tak nak ‘reveal’ terlalu banyak, tetapi Insya-Allah, Hari Kebangsaan tahun ini akan disambut dengan gilang-gemilang, satu suasana yang harmoni dan penuh kegembiraan,” katanya sambil menambah orang ramai boleh melayari portal merdeka360.my untuk mengetahui maklumat lanjut mengenai sambutan itu.

Sambutan Hari Kebangsaan 2025 akan diadakan di Putrajaya pada 31 Ogos ini, manakala Hari Malaysia 2025 diadakan di Pusat Konvensyen PICCA@Arena Butterworth, Pulau Pinang pada 16 Sept.

Dalam perkembangan berkaitan, Fahmi turut menjemput orang ramai menghadiri Malam Malaysia Bersama Gaza anjuran Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) yang akan berlangsung di Dataran Merdeka dari 22 hingga 24 Ogos ini.

Acara kemuncaknya pada 23 Ogos dijangka diserikan dengan kehadiran Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Acara ini akan mengingatkan kita tentang sokongan Malaysia terhadap Palestin, khususnya Gaza, adalah berterusan dan tidak berbelah-bagi.

“MAPIM menjangkakan kehadiran lebih 100,000 orang...kita akan lihat sejarah tentang perjuangan untuk pastikan Palestin itu merdeka sejak dari awal hingga sekarang, akan ada time tunnel dan pelbagai maklumat. Saya menyeru orang ramai hadir beramai-ramai untuk memberikan sokongan,” katanya.

Mengulas mengenai Program PENTARAMA Homecoming, Fahmi berkata ia merupakan inisiatif julung kali yang akan diperluas ke lebih 80 sekolah di seluruh negara bagi menyemarakkan semangat patriotisme dalam kalangan pelajar.

Antara pengisian program hari ini ialah sesi Sembang Santai bersama Menteri, persembahan tarian, pertunjukan fesyen, permainan interaktif, serta kibaran Jalur Gemilang.

Turut hadir, Ketua Pengarah Jabatan Penerangan (JAPEN) Julina Johan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan