AM

184 Syarikat Usahawan Bumiputera Sabah, Sarawak Terima Geran BEEP PLUS

05/08/2025 07:19 PM

PENAMPANG, 5 Ogos (Bernama) -- Sebanyak 184 syarikat usahawan Bumiputera Sabah dan Sarawak telah menerima bantuan di bawah inisiatif Geran Usahawan Bumiputera Sabah dan Sarawak (BEEP PLUS) sejak diperkenalkan pada 2023.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick berkata geran padanan itu disalurkan kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) Bumiputera di kedua-dua negeri menerusi SME Corp Malaysia, dengan jumlah peruntukan keseluruhan sebanyak RM15.68 juta.

“Inisiatif BEEP PLUS merupakan pendekatan tambahan yang diperkenalkan oleh KUSKOP bagi membantu kumpulan sasar di Sabah dan Sarawak, sejajar dengan pelaksanaan Dasar Pandang Ke Timur Dalam Negara – Perspektif KUSKOP, yang bertujuan memacu pembangunan keusahawanan berdasarkan isu serta cabaran tempatan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melawat enam usahawan BEEP PLUS di sekitar Penampang dan Putatan, yang menerima bantuan geran berjumlah antara RM20,000 hingga RM245,000.

Ahli Parlimen Penampang itu turut memaklumkan bahawa rata-rata usahawan menyatakan bantuan tersebut banyak membantu meningkatkan produktiviti, hasil jualan dan ketahanan perniagaan, khususnya dalam mendepani cabaran kos operasi yang semakin meningkat.

“Saya akan mengadakan sesi libat urus bersama para penerima bantuan geran SME Corp di Sabah pada September ini, dan menjadikan platform tersebut sebagai dialog belanjawan serta input kepada Kajian Separuh Penggal Dasar Keusahawanan Nasional 2030,” katanya.

Ewon berkata, selaras dengan agenda pembangunan khas masyarakat Anak Negeri Sabah dan Bumiputera Sabah dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) 2026–2030, beliau komited untuk meneruskan pelaksanaan BEEP PLUS serta inisiatif-inisiatif lain yang bersesuaian.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan