AM

OPA: Paras Empangan Bukit Merah Meningkat, Namun Masih Kritikal

05/08/2025 01:05 PM

IPOH, 5 Ogos (Bernama) -- Paras bacaan air Empangan Bukit Merah mencatatkan peningkatan daripada 6.03 meter kepada 6.096 meter setakat pagi tadi, susulan Operasi Pembenihan Awan (OPA) yang menghasilkan hujan di beberapa kawasan terbabit semalam. 

Jabatan Pengairan dan Saliran Negeri Perak memaklumkan kapasiti simpanan empangan turut meningkat daripada 6.65 juta meter padu (12.2 peratus) kepada 7.25 juta meter padu (13.31 peratus). 

“Bagaimanapun status semasa empangan masih di tahap aras henti bekalan pengairan seperti yang ditetapkan dalam Standard Operasi Prosedur (SOP) sedia ada.

"Peningkatan simpanan kolam empangan ini sedikit sebanyak membantu memanjangkan tempoh bekalan air bagi keperluan domestik, namun bekalan air bagi tujuan pengairan ke Rancangan Pengairan Kerian masih belum dapat dimulakan semula," menurut jabatan berkenaan dalam kenyataan hari ini. 

Semalam, OPA diketuai Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dengan kerjasama Jabatan Meteorologi Malaysia dan Tentera Udara Diraja Malaysia dilaksanakan di beberapa kawasan terjejas akibat cuaca panas termasuk di Empangan Bukit Merah yang mengalami penyusutan sejak Jun lepas. 

Berikutan fenomena panas dan kering, empangan berkenaan telah mencapai aras henti bekalan pengairan pada 6.096 meter sejak 22 Julai lepas dan mengikut SOP pengendalian empangan, bekalan air ke sawah akan dihentikan sementara waktu bagi memberi laluan kepada bekalan air mentah.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan