JENAYAH & MAHKAMAH

Polis Kesan Lelaki OKU Hilang Di Ampang

04/08/2025 08:00 PM

KUALA LUMPUR, 4 Ogos (Bernama) -- Polis meminta bantuan orang ramai bagi mengesan seorang lelaki Orang Kurang Upaya (OKU) berusia 43 tahun yang dilaporkan hilang pada 1 Ogos lepas.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya ACP Mohd Azam Ismail berkata pihaknya menerima laporan mengenai kehilangan mangsa, Norhafsham Nazri, 43, daripada bapanya pada 2 Ogos kira-kira 1.04 tengah hari.

“Pengadu memaklumkan bahawa dia telah menghantar anaknya untuk berehat di Kampung Warisan, Taman Melawati pada 1 Ogos kira-kira 2.30 petang, namun pada 9.30 malam hari yang sama, anaknya tidak pulang ke rumah dan pencarian di lokasi terbabit gagal menemukan mangsa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Azam berkata mangsa disahkan sebagai OKU mental sejak 2022 dan kali terakhir dilihat memakai kemeja-T berkolar bulat bercorak hitam dan merah, seluar jean gelap serta kasut sukan selain membawa beg galas berwarna hitam.

Hasil pencarian awal dilakukan pada 2 Ogos menemukan sebuah beg galas yang dipercayai milik mangsa di laluan menuju ke Bukit Tabur, Taman Melawati dan operasi pencarian yang kini memasuki hari keempat ditumpukan di sekitar laluan Bukit Tabur dan kawasan Hulu Sungai Klang.

Antara pihak terlibat dalam operasi itu ialah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Zon 4 Hulu Langat, Unit Anjing Pengesan (K9) JBPM, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), pasukan sukarelawan serta penduduk kampung dan Malim Gunung daripada Jabatan Perhutanan Selangor.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kehilangan terbabit diminta menyalurkan maklumat di Balai Polis Taman Melawati, dan mana-mana individu atau pihak yang ingin membantu SAR juga diminta melapor diri di pos kawalan polis berhampiran,” katanya.

-- BERNAMA


 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan