AM

FELDA Rujuk JPM Berhubung Penyaluran RM100,000 Setiap Kampung - Ahmad Shabery

03/08/2025 04:02 PM

KUALA LUMPUR, 3 Ogos (Bernama) -- Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) akan merujuk kepada Jabatan Perdana Menteri (JPM) bagi menyelaras kaedah terbaik penyaluran peruntukan RM100,000 kepada setiap kampung di tanah rancangan itu, seperti diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam.

Pengerusinya Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata langkah itu bertujuan memastikan peruntukan berkenaan diagihkan dengan tatakelola yang baik serta mencapai matlamat seperti disasarkan kerajaan.

“Kita akan rujuk pada JPM mengenai syarat-syarat atau kriteria yang wajar kita letakkan kepada penerima, supaya bantuan ini selepas disalurkan nanti ia tidaklah hilang begitu sahaja sehingga tidak mencapai hasrat seperti dimahukan Perdana Menteri.

“Kita juga perlu lihat kumpulan mana yang akan diberi peruntukan, kerana ada sesetengah kampung punyai JKTR (Jawatankuasa Kerja Tanah Rancangan), ada juga koperasi sendiri selain badan tertentu seperti Majlis Belia,” katanya.

Ahmad Shabery berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Program Felda Robo and Novate 2025 bertemakan Inovator Muda, Masa Depan Mendunia sempena Mega Karnival 3 Dimensi (MK3D) 2025 di Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), di sini hari ini.

Turut hadir Pengarah Besar FELDA Datuk Dr Suzana Idayu Wati Osman.

Anwar semalam mengumumkan peruntukan RM100,000 bagi setiap kampung di bawah FELDA bagi melaksanakan projek pembangunan yang ditentukan sendiri oleh penduduk setempat.

Beliau berkata pendekatan itu selaras dengan aspirasi Kerajaan MADANI yang menekankan prinsip musyawarah dan pemerkasaan rakyat.

Sementara itu, mengulas mengenai penyahsenaraian FGV Holdings Berhad (FGV) daripada Bursa Malaysia, Ahmad Shabery berkata perkara itu tidak wajar dianggap sebagai perkembangan negatif.

“Ia (penyahsenaraian) membolehkan kita membuat penstrukturan kembali kaedah-kaedah yang terbaik, tanpa terikat dengan peraturan di bursa sebagai syarikat awam yang menyukarkan kita.

“Jadi dalam konteks ini, ia adalah satu langkah ke arah pemilikan sepenuhnya (FGV) sekali gus membolehkan hasil ataupun revenue yang membolehkan FELDA itu berdikari dan dapat menjalankan aktiviti berkaitan dengan kebajikan peneroka,” katanya.

Perdana Menteri sebelum ini memaklumkan bahawa FELDA boleh mula menentukan sendiri arah tuju FGV selepas syarikat itu selesai proses penyahsenaraian daripada Bursa Malaysia bermula 28 Ogos ini.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan