AM

Ahmad Zahid Tiba Di Sabah Tinjau Situasi Bencana

17/09/2025 09:38 PM

KOTA KINABALU, 17 Sept (Bernama) -- Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi tiba di sini pada 7.40 malam ini bagi meninjau situasi bencana yang melanda Sabah.

Beliau kemudian diberikan taklimat oleh Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sabah Datuk Seri Safar Untong yang juga Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah di Bilik Taklimat, Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu.

Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat dijadual meninjau pusat pemindahan sementara (PPS) di daerah Putatan malam ini, iaitu PPS Sekolah Menengah Kebangsaan Petagas, sebelum ke PPS Keramat.

Pada pagi esok, Timbalan Perdana Menteri akan melawat kawasan bencana di daerah Papar, bermula di PPS Kampung Mook, Kinarut dan kemudian ke kawasan tanah runtuh di Kampung Mook yang mengorbankan dua orang.

Beliau kemudian dijadual melawat PPS Dewan Marahang, sebelum melawat kawasan tanah runtuh di Kampung Marahang yang telah meragut tiga nyawa.

Ahmad Zahid turut akan melawat lokasi Jambatan Kampung Sungai Kaiduan yang runtuh dibawa arus deras susulan banjir sebelum ini. Terdahulu, beliau telah mengarahkan pemasangan jambatan panel keluli bermodular atau jambatan Bailey bagi menggantikan jambatan berkenaan.

 Menurut JPBN Sabah, mangsa banjir meningkat kepada 2,919 orang daripada 814 keluarga pada petang ini berbanding 2,897 orang daripada 813 keluarga pagi tadi di 25 PPS dan sebuah Pusat Pemindahan Kekal (PPK) di Selagon, Beaufort.

Bencana tanah runtuh di Sabah telah meragut 13 nyawa setakat ini. 

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Isnin meluluskan peruntukan segera RM10 juta melalui Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) bagi membantu mangsa terjejas banjir di negeri berkenaan.

Menurut Perdana Menteri, jumlah itu adalah tambahan kepada RM11 juta yang telah disalurkan melalui kerajaan negeri bagi tujuan pembaikan segera kemudahan asas di kawasan terlibat.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan