AM

Pembinaan Memorial Tun Abdullah Ahmad Badawi Pada Peringkat Perbincangan - KPN

16/09/2025 03:43 PM

KEPALA BATAS, 16 Sept (Bernama) -- Perancangan dan permohonan peruntukan bagi membina Memorial Tun Abdullah Ahmad Badawi di kawasan Vision Park di sini pada peringkat perbincangan, menurut Kementerian Perpaduan Negara (KPN).

Menteri Perpaduan Datuk Aaron Ago Dagang berkata pihaknya mengucapkan terima kasih dan penghargaan kepada Kerajaan Negeri Pulau Pinang kerana telah meluluskan tanah itu bagi tapak pembinaan memorial berkenaan.

"Kerajaan MADANI melalui KPN akan memberikan sokongan dan kerjasama penuh kepada Arkib Negara Malaysia bagi merealisasikan pembinaan memorial itu yang bakal menjadi simbol legasi Tun Abdullah untuk tatapan dan dikenang oleh generasi akan datang.

"Sekarang kita akan adakan perancangan, reka bentuk dan seterusnya memohon peruntukan bagi pembinaan memorial berkenaan. Jadi ini akan mengambil sedikit masa," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Mengenang Negarawan Tun Abdullah Ahmad Badawi: Bapa Pembangunan Modal Insan di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Pengarah Jabatan Arkib Negara Datuk Jaafar Sidek Abdul Rahman. 

Sementara itu, Aaron berkata pelbagai bentuk sumbangan Abdullah merentasi bidang politik, pentadbiran, pembangunan insan dan perpaduan negara telah memberi kesan mendalam kepada kesejahteraan rakyat.

Antara sumbangan terbesar beliau, termasuk penubuhan Institut Integriti Malaysia (IIM), Institut Kanser Negara (IKN), pemerkasaan Badan Pencegah Rasuah kini dikenali sebagai SPRM, dan gagasan Islam Hadhari.

Program anjuran Arkib Negara Itu bagi mengenang dan menelusuri jasa serta sumbangan besar perdana menteri kelima itu sekali gus menyemarakkan lagi sambutan Hari Malaysia.

Antara pengisian program itu, sesi bicara negarawan melibatkan beberapa tokoh pembicara termasuk Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bertam Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican dan Timbalan Pengerusi Institut Kefahaman Islam Malaysia Prof Emeritus Datuk Dr Mohd Yusof Othman, serta sesi “Kisah Ayahanda Saya” oleh Nori Abdullah.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan