AM

Jumlah Mangsa Banjir Di Empat Negeri Terus Meningkat, PPS Baharu Dibuka

15/09/2025 07:58 PM

KUALA LUMPUR, 15 Sept (Bernama) -- Situasi banjir di empat negeri terutama Sabah semakin buruk apabila jumlah mangsa yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) terus meningkat petang ini berbanding pagi tadi.

Di SABAH, Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) dalam kenyataan memaklumkan jumlah mangsa meningkat kepada 863 orang daripada 220 keluarga berbanding 415 orang daripada 113 keluarga pagi tadi.

“Kesemua mangsa adalah penduduk dari 36 kampung di empat daerah terjejas iaitu Penampang, Beaufort, Membakut dan Tawau.

“Empat lagi PPS dibuka sejak 10 pagi tadi melibatkan Dewan Masyarakat Papar serta Dewan PPR Sri Keramat Putatan, selain PPS Kampung Sarapung dan Dewan Inobong di Penampang. Maklumat penduduk terjejas yang akan ditempatkan di PPS tersebut sedang dikemas kini,” menurut kenyataan itu.

Di PERAK, jumlah mangsa meningkat kepada 194 orang daripada 48 keluarga di daerah Muallim setakat 4 petang tadi.

Sekretariat JPBN Perak dalam kenyataan memaklumkan terdapat penambahan jumlah mangsa dan keluarga di kedua-dua PPS itu berbanding 131 mangsa daripada 30 keluarga pada 2 petang tadi. 

Pegawai Daerah Muallim merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Mohd Sabli Bakri dalam kenyataan turut mengumumkan pembukaan PPS baharu di Dewan Serbaguna Kampung Pauh, Behrang Stesen pada 6 petang.

Di NEGERI SEMBILAN, Pegawai Pertahanan Awam Daerah Port Dickson Kapten (PA) Mohamad Ridzuan Mohamed Buniran berkata jumlah mangsa di PPS Balai Raya Kampung Jimah Lama meningkat kepada 50 orang daripada 13 keluarga setakat 4 petang, berbanding 33 orang daripada lapan keluarga pagi tadi.

“Cuaca ketika ini cerah dan trend air semakin menurun, namun banjir belum surut sepenuhnya di beberapa rumah berikutan lokasi kampung itu berdekatan dengan sungai,” katanya.

Di SELANGOR, portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) memaklumkan dua PPS dibuka hari ini iaitu di Sekolah Kebangsaan Sungai Serai, Hulu Langat yang menempatkan 19 mangsa dan Dewan Orang Ramai Hulu Bernam, Hulu Selangor menjadi tempat berlindung 14 mangsa.

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan