BUKIT MERTAJAM,15 Sept (Bernama) -- Persiapan sambutan Hari Malaysia 2025 yang akan berlangsung di Pusat Konvensyen PICCA@Arena Butterworth esok telah mencapai hampir 95 peratus, kata Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil.
Pengerusi Jawatankuasa Induk Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2025 (HKHM 2025) itu berkata beliau telah menyampaikan beberapa perkara kepada pasukannya untuk diteliti serta ditambah baik ketika raptai penuh malam tadi.
“Saya ada sampaikan beberapa perkara yang saya minta diteliti... mungkin ditambah baik daripada segi mungkin persiapan dalam dewan tetapi daripada segi isi kandungan, atur cara dan jemputan, tidak ada apa-apa masalah serta berjalan dengan baik,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau pelaksanaan projek WiFi Institusi Pengajian Tinggi Awam di Politeknik Seberang Perai di sini hari ini.
Turut hadiri Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Datuk Seri Mohamad Fauzi Md Isa dan Pengarah Urusan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia Abdul Karim Fakir Ali.
Sambutan Hari Malaysia 2025, yang bertemakan 'Malaysia MADANI: Rakyat Disantuni' di PICCA esok, bakal menampilkan pelbagai pengisian menarik mulai 9 pagi.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang Tun Ramli Ngah Talib, Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas mewakili Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg serta Timbalan Ketua Menteri Sabah Datuk Shahelmey Yahya mewakili Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor dijadual menghadiri sambutan itu pada sebelah malam.
Ia juga bakal dimeriahkan dengan persembahan artis popular tanah air pelbagai kaum termasuk Ratu Rock negara Ella bersama Suki Low, Roshini Balachandran selain artis dari Sabah dan Sarawak iaitu Dabra Sia serta Rezza Shah.
Edisi kali ini diadakan di Pulau Pinang selaras dengan amalan penggiliran lokasi sambutan antara Sabah, Sarawak dan Semenanjung Malaysia setiap tahun.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial