AM

Malaysia Mengalu-Alukan Kedatangan Delegasi Sidang Kemuncak Halal Global 2025

15/09/2025 04:28 PM

KUALA LUMPUR, 15 Sept (Bernama) -- Malaysia mengalu-alukan kedatangan delegasi-delegasi antarabangsa ke Sidang Kemuncak Halal Global (GHaS) 2025, yang dijadualkan bermula esok hingga 26 Sept melibatkan lebih 92 badan pensijilan halal yang diiktiraf serta delegasi antarabangsa daripada 47 negara.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata kehadiran duta, penggubal dasar, ahli akademik dan pemimpin industri pada sidang kemuncak itu mencerminkan komitmen global dalam memperkukuh ekosistem halal di peringkat antarabangsa.

“Satu penghormatan untuk menjadi tuan rumah kepada anda di Kuala Lumpur dan Putrajaya. Malaysia berbangga berperanan sebagai jambatan strategik kepada integriti, kelestarian dan daya tahan dalam dunia halal, dan bersama anda, kita mampu mengangkat kecemerlangan halal ke tahap yang lebih tinggi,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Majlis Pembangunan Industri Halal Malaysia turut merakamkan ucapan selamat datang kepada para delegasi dan berharap penyertaan mereka dapat menyemai ilmu baharu, membina kerjasama serta membuka peluang yang memberi manfaat kepada negara masing-masing, di samping menyumbang kepada pembangunan industri halal global yang mampan dan diyakini.

Sidang Kemuncak Halal Global tahun ini mengetengahkan tema ‘Integriti, Kelestarian dan Daya Tahan’, sekali gus menjadi platform penting bagi dialog serta kerjasama dalam kalangan pemegang taruh halal di seluruh dunia.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan