DUNIA

Ringgit Dijangka Diniagakan Dalam Julat Kecil Minggu Depan

13/09/2025 10:38 AM

Oleh Danni Haizal Danial Donald

KUALA LUMPUR, 13 Sept (Bernama) -- Ringgit dijangka diniagakan dalam julat kecil minggu depan berikutan pelabur mengalihkan tumpuan kepada jangkaan penurunan kadar faedah Amerika Syarikat (AS).

 Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata ringgit mungkin akan meningkat lebih tinggi selepas menembusi paras RM4.20, terutamanya jika unjuran suku tahunan Rizab Persekutuan AS menunjukkan pendirian yang lebih mesra pelonggaran dasar monetari.

Pengarah Urusan SPI Asset Management Stephen Innes turut berkongsi pandangan sama, dengan menjangkakan ringgit akan bergerak dalam julat antara RM4.19 dan RM4.21.

"Kenaikan semalam meletakkan paras RM4.20 sebagai titik tumpuan bagi minggu depan, memandangkan pasaran terus mengutamakan kelemahan pasaran buruh berbanding inflasi yang berterusan,” katanya.

Bagi asas mingguan, ringgit mengakhiri dagangan minggu ini pada paras lebih tinggi berbanding dolar AS, ditutup pada 4.1975/2080 berbanding 4.2260/2320 sebelum ini.

Mata wang tempatan itu bagaimanapun diniagakan kebanyakannya lebih rendah berbanding kumpulan mata wang utama.

Ringgit meningkat berbanding yen Jepun kepada 2.8373/8446 daripada 2.8489/8531 minggu sebelumnya, namun merosot berbanding pound British kepada 5.6864/7006 daripada 5.6793/6874, dan kekal tidak berubah berbanding euro pada 4.9203/9326 berbanding 4.9203/9273.

Bagaimanapun, prestasi ringgit kebanyakannya lebih baik berbanding mata wang negara ASEAN

Ia mengukuh berbanding dolar Singapura kepada 3.2719/2803 daripada 3.2775/2824 pada akhir minggu lepas, meningkat berbanding rupiah Indonesia kepada 256.3/257.0 daripada 257.3/257.7, dan naik berbanding peso Filipina kepada 7.35/7.37 daripada 7.40/7.42 sebelum ini.

Ringgit, bagaimanapun,  merosot berbanding baht Thailand kepada 13.2317/2703 daripada 13.0666/0908 minggu sebelumnya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan