EKONOMI

PNB Lancar Laporan Bagi Lonjak Pendapatan Pekebun Kecil Sawit Persendirian

12/09/2025 06:56 PM

KUALA LUMPUR, 12 Sept (Bernama) -- Cabang penyelidikan dan anak syarikat milik penuh Permodalan Nasional Bhd (PNB), PNB Research Institute Sdn Bhd (PNBRI), hari ini melancarkan laporan bertajuk “Realiti dan Prospek Kelestarian dalam Kalangan Pekebun Kecil Sawit di Malaysia” yang menekankan cabaran semasa dan akan datang dalam amalan kelestarian.

Laporan itu juga mengemukakan cadangan dasar yang boleh dilaksanakan bagi membimbing hala tuju masa depan pekebun kecil persendirian dalam industri sawit Malaysia.

Sebanyak 15 cadangan diketengahkan bagi memperkukuh kuasa tawar-menawar, akses pasaran dan meningkatkan taraf hidup lebih 210,000 pekebun kecil persendirian, ke arah daya saing global yang seimbang dengan keperluan alam sekitar, ekonomi dan sosial.

Pengerusi Kumpulan PNB Raja Tan Sri Arshad Raja Tun Uda berkata laporan itu adalah hasil daripada penyelidikan intensif, libat urus pelbagai pihak berkepentingan dan kerja lapangan di seluruh negara selama hampir dua tahun.

“Walaupun kajian itu bertujuan memperkasakan suara pekebun kecil persendirian namun, pendekatan pelbagai perspektif dalam kajian itu memastikan hasil dapatan tidak hanya mencerminkan satu naratif sahaja.

“Sebaliknya, kajian ini memberikan pandangan seimbang dan berasaskan bukti mengenai peluang serta kekangan dalam usaha menjadikan rantaian bekalan minyak sawit Malaysia lebih mampan, inklusif dan menguntungkan untuk pekebun kecil persendirian,” katanya di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan alu-aluan semasa pelancaran laporan itu di Presint Merdeka 118, di sini.

Hasil dapatan daripada kajian itu juga menyokong usaha Kumpulan PNB untuk memacu automasi dan pertanian pintar dalam industri sawit berlandaskan inisiatif GEAR-uP kerajaan serta penekanan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) terhadap penambahbaikan piawaian pensijilan kemampanan tempatan, katanya.

“Secara keseluruhan, hasil dapatan ini mencerminkan aspirasi menyeluruh Ekonomi MADANI dan RMK13 untuk membentuk semula pembangunan negara melalui transformasi dipacu teknologi, pemerkasaan sosioekonomi dan kemakmuran yang mampan untuk negara secara keseluruhannya," katanya.

GEAR-uP adalah inisiatif nasional yang diterajui oleh Kementerian Kewangan (MOF) bagi menggerakkan peranan strategik syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dalam memacu pelaburan bernilai tinggi, memperkukuh struktur ekonomi negara dan meningkatkan taraf hidup rakyat.

Raja Arshad berkata walaupun pekebun kecil persendirian hanya mengusahakan kira-kira 15 peratus daripada keluasan tanaman sawit di Malaysia, mereka menjana punca pendapatan bagi ratusan ribu keluarga di seluruh negara.

Beliau berkata menjelang akhir 2024, meskipun 81 peratus pekebun kecil persendirian di Malaysia telah diperakui mampan mengikut piawaian Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) namun, mereka berisiko ketinggalan dalam desakan global ke arah kemampanan.

“Seperti hasil dapatan kajian ini, pekebun kecil persendirian terus mengalami cabaran. Peningkatan kos input, ditambah pula dengan isu pokok sawit yang semakin tua serta tekanan untuk terus mematuhi keperluan kemampanan, mungkin telah menambahkan lagi beban kewangan yang ditanggung oleh pekebun kecil,” katanya.

Menurut laporan tersebut, antara 15 cadangan yang dikemukakan adalah memperkenalkan skim latihan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) “Agropreneur Sawit Muda” bagi melatih generasi baharu pekebun kecil yang mewarisi tanah daripada ibu bapa mereka memandangkan usia kalangan pekebun kecil sawit semakin menua.

Skim latihan itu merangkumi modul utama seperti literasi kewangan, kebijaksanaan perniagaan, serta MSPO atau modul amalan pertanian baik.

Usaha itu dijangka dapat mengekalkan daya saing eksport Malaysia.

"Selain itu, harga baja punitif mendorong pembelian input secara pukal, untuk mengoptimumkan kos bagi pekebun kecil yang tidak mampu mencapai keuntungan dari segi kos.

“Sejajar dengan cadangan kami supaya lebih banyak modal kerja disediakan untuk Koperasi Penanam Sawit Mampan (KPSM) agar koperasi ini dapat bersaing dengan pusat pengumpulan swasta, KPSM juga boleh dimanfaatkan sebagai saluran bagi pembelian baja secara pukal," menurut laporan itu.

Laporan itu juga mencadangkan supaya kuasa tawar-menawar pekebun kecil dipertingkatkan serta kebergantungan kepada pusat pengumpulan pihak ketiga dikurangkan melalui penambahbaikan peraturan, mewajibkan ketelusan dalam operasi pusat tersebut serta mempelbagaikan sokongan pertanian yang tersedia untuk pekebun kecil.

“Ini boleh dilaksanakan dengan mempercepat proses pensijilan MSPO ke atas pusat pengumpulan tersebut," menurut laporan itu.

Laporan itu menjelaskan langkah tersebut telah diwajibkan mulai Julai 2025.

Laporan tersebut juga menekankan kepentingan amalan pertanian baik, yang melangkaui aspek pembajaan ke arah penggunaan teknologi yang mudah, untuk meningkatkan terima guna amalan lain seperti penyimpanan rekod.

Kajian itu menggabungkan pandangan daripada lebih 30 perbincangan kumpulan fokus yang melibatkan 250 responden terdiri daripada kalangan pekebun kecil persendirian dan pegawai pengembangan di 11 negeri, termasuk di Malaysia Timur.

Kajian itu turut disokong dengan temu bual berstruktur secara bersemuka bersama 425 pekebun kecil persendirian.

Laporan penuh boleh dimuat turun melalui  www.pnbri.com.my.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan