KUALA LUMPUR, 11 Sept (Bernama) -- Kementerian Kesihatan (KKM) dalam proses merangka Memorandum Jemaah Menteri (MJM) mengenai pengharaman rokok elektronik atau vape bagi memastikan pelaksanaannya dirancang secara intensif dan menyeluruh.
Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata butiran dan fasa pelaksanaan pengharaman vape akan dibentangkan kepada Kabinet setelah ia selesai dirangka, maka semua pihak perlu bersabar menunggu pengumuman lanjut termasuk bila, bagaimana dan fasa-fasa seterusnya.
"Saya tidak boleh mendahului keputusan yang akan dibuat oleh Kabinet. Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sangat menyokong usaha ini dan meminta saya memastikan bahawa ia teratur (in order) dan kita akan bentangkan pada masa yang tepat," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melancarkan Majlis Sambutan Minggu Penyusuan Susu Ibu (MPSI) Sedunia Peringkat Kebangsaan Peringkat Hospital PUSRAWI 2025 di sini hari ini.
Pada 23 Ogos lepas, Dzulkefly dilaporkan berkata MJM berhubung pengharaman vape akan dibentangkan kepada Kabinet selewat-lewatnya hujung tahun ini dan KKM telah membentangkan laporan cadangan awal jawatankuasa kepakaran dalam mesyuarat Kabinet.
Selain itu, Dzulkefly berharap lebih banyak hospital swasta melaksanakan Inisiatif Hospital Rakan Bayi (BFHI) bagi menyokong penyusuan ibu.
Katanya setakat ini, sebanyak 128 hospital kerajaan atau 100 peratus telah mencapai pengiktirafan BFHI manakala hanya 31 daripada 180 hospital swasta (17.2 peratus) berjaya mendapat pengiktirafan sama.
Beliau berkata penyusuan susu ibu secara eksklusif dalam tempoh 1,000 hari pertama kehidupan memberi impak besar kepada pertumbuhan fizikal, perkembangan otak dan perlindungan terhadap penyakit serta intervensi paling efektif dalam membentuk asas kesihatan jangka panjang.
Katanya ia juga selaras dengan matlamat Dasar Pemakanan Negara Malaysia untuk mengurangkan prevalen penyakit tidak berjangkit berkaitan pemakanan dan bagi mencapai Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) 2030.
Dzulkefly turut memuji Hospital Pakar Pusrawi Kuala Lumpur sebagai hospital swasta pertama di Malaysia yang menawarkan klinik cetusan laktasi (induced lactation) untuk ibu angkat bagi membolehkan mereka merasai pengalaman penyusuan yang penuh makna.
“Ini juga menyokong pembentukan ikatan emosi yang lebih erat antara ibu dan anak angkat, selari dengan aspirasi BFHI dalam memastikan setiap ibu mendapat sokongan menyeluruh serta pengalaman keibuan yang positif," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial