GEORGE TOWN, 11 Sept (Bernama) -- Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow yakin Akaun Hasil Disatukan (AHD) negeri dapat dipulihkan kepada hampir RM1 bilion menjelang 2028 menerusi strategi pengurusan kewangan berhemat dan hasil negeri yang meningkat.
Beliau berkata kerajaan negeri telah membelanjakan sebanyak RM1.019 bilion untuk pelbagai program kebajikan sosial dan bantuan tunai antara 2018 dan 2025, termasuk bantuan tunai di bawah inisiatif Penang Lawan COVID-19.
Katanya walaupun baki AHD mencatatkan penyusutan sejak 2019, angka terkini menunjukkan trend pemulihan positif.
“Baki AHD susut daripada RM1.15 bilion pada 31 Dis 2019 kepada RM155.94 juta pada akhir 2024, namun meningkat kepada RM235.55 juta pada 21 Mei lepas.
“Ini menunjukkan pemulihan. Pada masa yang sama, sejak tahun lepas, kita berjaya membentangkan bajet dengan defisit terendah, iaitu RM33 juta berbanding ratusan juta ringgit pada tahun-tahun sebelumnya,” katanya pada sidang media di sini hari ini.
Chow menegaskan perbelanjaan itu mencapai matlamatnya untuk membantu rakyat menghadapi situasi getir ketika ekonomi negara hampir terhenti.
Beliau berkata strategi meningkatkan hasil negeri termasuk kajian semula kadar cukai tanah akan diumumkan minggu depan.
“Saya komited sejak hari pertama dan menjelang 2028, AHD Pulau Pinang dapat dipulihkan kepada hampir RM1 bilion. Dana ini boleh dimanfaatkan oleh pengganti saya pada masa depan,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial