JENAYAH & MAHKAMAH

Kastam Pulau Pinang Gagalkan Cubaan Seludup 125 Tan Sekerap Tembaga Lebih RM5 Juta

10/09/2025 06:21 PM

BUTTERWORTH, 10 Sept (Bernama) -- Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Pulau Pinang menggagalkan cubaan menyeludup masuk 125 tan sekerap tembaga bernilai lebih RM5 juta di Pelabuhan Butterworth Utara (NBCT) pada 22 Julai lepas.

Pengarahnya Datuk Rohizad Ali berkata kesemua barangan itu ditemukan hasil pemeriksaan ke atas lima kontena yang tiba dari Thailand.

“Siasatan mendapati dagangan itu diikrar sebagai komponen elektronik terpakai dalam borang kastam dan pemeriksaan telah menemukan 125 tan sekerap tembaga bernilai RM5.29 juta,” katanya pada sidang media di Stor Penguatkuasaan Bagan Jermal di sini hari ini.

Berikutan itu, tiga individu termasuk seorang wanita berusia lingkungan 40 hingga 60 tahun yang juga pemilik syarikat dan ejen turut ditahan bagi membantu siasatan.

Beliau berkata sekerap logam yang diimport diklasifikasikan sebagai barang larangan import dan tertakluk di bawah Item 5, Jadual Keempat Bahagian I, Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2023 yang memerlukan permit daripada SIRIM Berhad.

Dalam kes berasingan, Rohizad berkata pihaknya merampas 438,824 batang rokok dan 1,377.6 liter minuman keras pelbagai jenama selepas menyerbu sebuah rumah di Padang Serai, Kedah.

Beliau berkata serbuan dilakukan pada awal bulan ini oleh sepasukan anggota dari Unit Operasi Penguatkuasaan Pulau Pinang hasil maklumat serta risikan, dan premis itu disyaki dijadikan sebagai stor penyimpanan barangan larangan import.

“Hasil pemeriksaan menemukan 438,824 batang rokok bersama 1,377.6 liter minuman keras pelbagai jenama bernilai RM168,395 dan duti terlibat dianggarkan berjumlah RM366,444,” katanya.

Kedua-dua kes masih disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) dan Seksyen 135(1)(a) Akta Kastam 1967.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan