AM

COC Laut China Selatan Perlu Ditangani Secara Serantau - PAT

10/09/2025 06:25 PM

KUALA LUMPUR, 10 Sept (Bernama) -- ASEAN perlu berdiri teguh dalam mempertahankan Kod Tata Laku (COC) di Laut China Selatan dan menanganinya sebagai isu serantau, bukan secara dua hala.

Panglima Angkatan Tentera Malaysia Jeneral Tan Sri Mohd Nizam Jaffar berkata COC merupakan antara perkara utama yang dibincangkan pada Mesyuarat Panglima Angkatan Tentera ASEAN ke-22 (ACDFM) yang diadakan di sini hari ini.

“Sebagai negara individu, kita kecil, namun sebagai ASEAN kita mempunyai suara. Apa jua yang menjejaskan Filipina, contohnya, seharusnya turut diberi perhatian oleh kita semua.

“ASEAN mesti mematuhi COC sebagai undang-undang bagi melindungi kepentingan bersama di Laut China Selatan dan selagi kod itu belum diiktiraf sepenuhnya, kita akan terus memastikan kebebasan pelayaran di rantau ini,” katanya pada sidang media bersama Panglima Angkatan Tentera Filipina Jeneral Romeo Brawner Jr selepas mesyuarat itu.

Brawner dalam pada itu mengalu-alukan usaha Malaysia yang kembali mengetengahkan isu berkenaan dalam agenda ASEAN.

“Sejak sekian lama, Filipina memperjuangkan kod ini. Kami amat berbesar hati kerana pada mesyuarat tahun ini, Jeneral Nizam sekali lagi membawanya untuk dibincangkan,” katanya.

Beliau berkata Panglima Angkatan Tentera ASEAN akan meneruskan perbincangan berhubung perkara itu pada mesyuarat akan datang di Manila tahun depan, sambil menegaskan bahawa COC perlu dihormati bukan sahaja oleh ASEAN malah juga semua negara yang beroperasi di rantau ini.

Pada Julai lepas, Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan berkata ASEAN menyambut baik kemajuan yang dicapai dalam rundingan COC dan berharap momentum positif itu dapat diteruskan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan