AM

Penaiktarafan AHA Centre Bantu ASEAN Siap Siaga Hadapi Bencana

10/09/2025 03:31 PM

KUALA LUMPUR, 10 Sept (Bernama) -- Kesiapsiagaan ASEAN menghadapi ketidaktentuan bencana global dapat dipertingkat melalui penaiktarafan Pusat Penyelarasan ASEAN bagi Bantuan Kemanusiaan (AHA Centre), bagi memastikan respons lebih pantas dan terkoordinasi.

Penyelaras Program Pengurusan Bencana dan Pensyarah Kanan School of Leadership and Resilience, Enforcement Leadership and Management University (ELMU) Dr Rabieahtul Abu Bakar berkata terdapat tiga tumpuan utama untuk memperkukuh mekanisme pengurusan bencana ASEAN, iaitu latihan bersama, penguatan rantai logistik dan pendigitalan sistem amaran awal.

Beliau berkata latihan bersama dan keseragaman prosedur operasi standard (SOP) rentas negara di bawah Perjanjian ASEAN mengenai Pengurusan Bencana dan Tindak Balas Kecemasan (AADMER) serta Pelan Tindak Balas Bencana Bersama ASEAN (AJDRP) membolehkan agensi kebangsaan, AHA Centre dan rakan antarabangsa bergerak seiring ketika krisis sebenar.

"Penguatan rantai logistik melalui protokol 'One ASEAN, One Response' dapat mengurangkan masa tindak balas jam-ke-jam sekiranya pemberi bantuan daripada satu negara terlumpuh," katanya ketika menjadi tetamu program Apa Khabar Malaysia terbitan Bernama TV di sini hari ini.

Selain itu, Rabieahtul berkata para pemimpin ASEAN perlu memainkan peranan penting dalam menjayakan misi pengurusan bencana melalui polisi bersama dengan menetapkan mandat dan politik yang jelas di bawah 'One ASEAN, One Response'.

“Selain itu pemimpin ASEAN berperanan memastikan peruntukan sumber yang mampan dan mendorong penyelarasan polisi domestik serta memperkasakan tadbir urus berasaskan data,” katanya.

Beliau turut menekankan kepentingan mengarusperdanakan komunikasi risiko yang berkesan bagi menangani salaf faham awam semasa krisis, selain mengumpul maklumat dari semua lapisan masyarakat di lapangan termasuk meningkatkan kesedaran mengenai bencana.

“Kita tidak mahu bersikap reaktif, sebaliknya perlu proaktif. Apabila terdapat tanda-tanda kemungkinan berlakunya sesuatu bencana, sebelum ia berlaku, kesedaran perlu diberikan kepada masyarakat mengenai cara melakukan evakuasi serta lokasi yang harus dituju sekiranya bencana benar-benar terjadi.”

Menurut beliau, komunikasi risiko yang tepat, jelas dan telus amat penting supaya masyarakat dapat menerima maklumat sahih dan mengelakkan kekacauan atau panik.

Pusat AHA ditubuhkan pada 2011 oleh 10 negara anggota ASEAN sebagai organisasi antara kerajaan untuk memudahkan kerjasama dan penyelarasan pengurusan bencana di rantau ini.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan