KANGAR, 10 Sept (Bernama) -- Seorang anggota bomba di Perlis direman tujuh hari bermula hari ini bagi membantu siasatan kes salah guna jawatan melibatkan sewaan sebahagian tanah untuk diusahakan sebagai sawah padi milik jabatannya di negeri itu pada 2023 dan 2024.
Sumber Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memaklumkan tahanan reman itu dibenarkan Majistret Mahkamah Kangar Ana Rozana Mohd Nor terhadap lelaki berusia 49 tahun berkenaan selepas permohonan reman dibuat SPRM Perlis hari ini.
"Lelaki ini ditahan kira-kira 4 petang semalam di Pejabat SPRM Perlis semasa hadir memberikan keterangan," kata sumber itu.
Anggota bomba itu dipercayai menggunakan kuasa yang ketika itu pada 2023 dan 2024 menjadi ketua sebuah balai bomba dan penyelamat di Perlis meminta wang sewaan tanah daripada seorang pesawah sebanyak RM12,000 bagi empat musim penanaman padi.
"Sebahagian tanah yang diusahakan menjadi sawah padi ini milik jabatannya, tetapi lelaki ini dipercayai menyewa tanah berkenaan dengan menggunakan kedudukannya sebagai ketua balai bomba pada ketika itu tanpa kebenaran pihak jabatan.
"Dia dipercayai meminta RM3,000 bagi setiap musim daripada pesawah terbabit dan penjawat awam ini disyaki menerima wang sewaan secara tunai," menurut sumber.
Sementara itu, Pengarah SPRM Perlis Mohd Nor Adha Ab Gani mengesahkan penahanan itu dan memaklumkan kes disiasat mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009 kerana disyaki salah guna jawatan untuk kepentingan peribadi.
Untuk rekod, pada 11 Feb lepas, media melaporkan lelaki itu direman enam hari bagi membantu siasatan kes mengemukakan tuntutan palsu berkaitan kehadiran kerja anggota bantuan di balai berjumlah kira-kira RM30,000 antara November 2023 hingga Februari 2024.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial