AM

ASEAN Smart City Action Plan 2026-2035 Tumpuan Utama ASCN8

09/09/2025 02:31 PM

KUALA LUMPUR, 9 Sept (Bernama) -- Penyediaan ASEAN Smart City Action Plan (ASCAP) 2026-2035 yang bakal menjadi rujukan strategik serantau dalam membentuk bandar yang hijau, inklusif dan digital antara tumpuan utama mesyuarat tahunan kelapan ASEAN Smart Cities Network (ASCN8).

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming yang juga Presiden UNHabitat berkata ASEAN boleh menjadi contoh kepada dunia bahawa pembangunan bandar bukan sahaja pintar tetapi juga berperikemanusiaan serta mengutamakan kesejahteraan rakyat.

“ASCN bukan sekadar tentang teknologi moden atau infrastruktur canggih tetapi ia perlu berteraskan kepada manusia, komuniti serta nilai-nilai kemasyarakatan yang mengikat rantau ini.

"… ASCN8 bukan sekadar mesyuarat tahunan tetapi simbol kepada tekad kolektif ASEAN dalam membentuk bandar masa depan yang inklusif, berdaya huni dan lestari,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Terdahulu, beliau merasmikan ASCN8 yang berlangsung dari 8 hingga 12 Sept, antara lain menghimpunkan pemimpin serantau, pakar bandar pintar dan pelbagai pihak berkepentingan sempena Kepengerusian ASEAN-Malaysia 2025.

Nga berkata acara itu mencerminkan pengiktirafan antarabangsa terhadap kepimpinan Malaysia dalam membangunkan bandar lestari, inklusif dan berdaya tahan. 

Bertemakan ‘Fostering Stronger Cooperation Towards Common Goal for Smart and Sustainable Urban Development in ASEAN’, Malaysia meneguhkan kepimpinan serantau ke arah kerjasama ASEAN yang lebih kukuh demi menjayakan agenda bandar pintar dan lestari untuk generasi akan datang.

Menurut kenyataan itu, selain mesyuarat rasmi, antara agenda ASCN8 adalah sesi perbincangan dasar dan teknikal melalui pameran Smart City Connect dan bicara pakar Smart City, iaitu platform menghubungkan kerajaan, sektor swasta dan masyarakat awam.

Selain itu, delegasi ASCN8 turut dijadualkan mengadakan lawatan rasmi ke Putrajaya Command Centre dan Putrajaya Wetlands bagi meninjau kemajuan Malaysia dalam pembangunan infrastruktur digital serta pemuliharaan alam sekitar berteraskan kelestarian.

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan