BERITA TERGEMPAR   Earthquake: 15 government buildings in Segamat suffered minor damage, estimated repair cost is RM550,550 - Ahmad Maslan | 
 AM

Jejak Inovasi Sosial YIM Pacu Kreativiti Komuniti, Buka Ruang Ekonomi Baharu Di Sarawak

08/09/2025 11:11 AM

KUCHING, 8 Sept (Bernama) -- Sarawak terus mengorak langkah dalam pembangunan inovasi peringkat komuniti menerusi inisiatif Jejak Inovasi Sosial anjuran Yayasan Inovasi Malaysia (YIM) yang membuka peluang memperkasa ekonomi setempat melalui penyelesaian kreatif berasaskan keperluan sebenar masyarakat.

Ketua Pegawai Eksekutif YIM Dr Sharmila Mohamed Salleh berkata keperluan inovasi di Sarawak kini semakin matang dan tertumpu kepada usaha meningkatkan kecekapan dan daya saing perniagaan sedia ada.

“Sarawak kini sudah banyak kemajuan, jadi kita lihat keperluan sekarang lebih kepada usaha menambah baik ekonomi individu dan komuniti.

“Inovasi bukan lagi tentang mencari yang luar biasa tetapi memperkemas apa yang ada agar lebih efisien, bernilai tinggi dan melambangkan identiti Sarawak,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata program berkenaan juga menjadi penutup siri Jejak Inovasi Sosial tahun ini selepas menjelajah ke zon lain di seluruh negara, dengan maklumat yang dikumpulkan akan digunakan untuk merancang inisiatif baharu pada tahun depan.

Program Jejak Inovasi Sosial Zon Sarawak turut merangkumi lawatan ke pusat kraf tangan, kilang fertigasi cili dan salad, pusat penyelidikan pemuliharaan air tercemar serta penghasilan produk penjagaan kulit buatan tangan.

Usahawan muda fertigasi cili dan salad, Ahmad Tarmizi Ahamad Sabirin, 29, berkata penyertaannya dalam program itu membuka ruang baharu bagi mendapatkan sokongan teknologi dan latihan dalam industri pertanian yang diceburi sejak 2018.

“Cabaran utama kami adalah penyakit tanaman seperti ancaman kutu trip dan lalat putih selain kos input pertanian yang semakin meningkat.

“Walaupun sudah 10 tahun dalam bidang pertanian kami perlu sentiasa belajar dan mengikuti kursus, jadi harapan kami adalah lebih banyak latihan serta subsidi racun dan baja untuk menghasilkan produk yang berkualiti dan selamat,” katanya yang turut mengusahakan pertanian itu bersama isterinya, Aminur Amira Norasri, 32.

Inovator bagi produk Superbiochar Ball, Mohd Rushairiy Abu Bakar, 34, berkata produk mesra alam berasaskan “biochar” itu digunakan untuk merawat air sungai, tasik dan kolam menggunakan bahan sisa tempatan seperti sekam padi dan kayu, selaras dengan konsep “waste to wealth” yang ditekankan kerajaan Sarawak.

“Superbiochar Ball ini bukan sekadar merawat air secara semula jadi, ia juga mempunyai potensi besar dalam pertanian, ternakan bahkan kosmetik. Satu bahan biochar boleh digunakan secara menyeluruh, murah dan lestari.

“Kami yakin melalui bimbingan Jejak Inovasi, usaha yang bermula di peringkat komuniti boleh dikomersialkan dan memberi manfaat bukan sahaja di Sarawak malah berpotensi ke peringkat antarabangsa,” katanya.

Mohd Rushairiy turut berharap agar kerjasama strategik dengan agensi kerajaan dan swasta dapat diperkukuh bagi mempercepatkan pelaksanaan inovasi itu secara lebih meluas.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan