ASAJAYA, 6 Sept (Bernama) -- Setiap kali Maulidur Rasul menjelma, halaman rumah di Kampung Sebandi Ulu yang terletak kira-kira 50 kilometer dari Kuching kembali meriah dengan ratusan talam berisi kek dan kuih yang berwarna-warni, untuk diagihkan sesama jiran dalam tradisi “tukar palak kuih”.
Tradisi turun-temurun lapan dekad itu, menyaksikan setiap keluarga membawa sekurang-kurangnya satu talam berisi kek di tengah (palak) dikelilingi aneka kuih tradisional seperti bahulu, peneram kuih loyang dan kek lapis Sarawak, sebelum ditukar sesama penduduk lain sebagai lambang perkongsian rezeki dan penyatuan komuniti tanpa mengira latar belakang.
Ketua Kampung Sebandi Ulu Jama Baylai, 50, berkata acara kemuncak tahun ini yang berlangsung di Dewan Serbaguna Kampung Sebandi Ulu, disertai kira-kira 700 penduduk daripada kampung sekitar daerah itu menjadi simbol kebersamaan dan saling menghargai sesama masyarakat kampung.
“Tradisi ini bermula sejak 1940-an…pada awalnya, kampung ini hanya ada beberapa rumah sahaja, namun kini sudah ada 186 rumah jadi memang meriah dengan talam berisi kuih. Secara tak langsung, ia juga membuka peluang menjana pendapatan kerana ramai menempah palak kuih daripada pembuat tempatan sebulan lebih awal.
“Pada tahun ini, pelbagai pengisian dijalankan pada hari sambutan Maulidur Rasul dan kita sambutnya selama dua hari…semalam, kita telah adakan majlis doa selamat, selawat, zikir dan majlis cukur jambul dan pada hari ini kita adakan perarakan dan tradisi bertukar ‘palak kuih’,” katanya kepada Bernama, di sini, hari ini.
Sambutan yang dimulakan seawal 8 pagi itu diserikan dengan perarakan Maulidur Rasul sejauh satu kilometer, mengelilingi kampung berkenaan yang menghimpunkan penyertaan 21 kontinjen pelbagai peringkat masyarakat melibatkan penduduk kampung sekitar daerah Asajaya.
Seorang pesara guru Taher Ismail, 60, yang berpengalaman menyambut tradisi itu sejak kecil berkata persiapan lazimnya dilakukan lebih awal, khususnya dalam menempah kek dan kuih bagi acara kemuncak berkenaan.
“Sebulan sebelum Maulidur Rasul lagi kami sudah tempah kek dan kuih daripada usahawan yang juga terdiri daripada orang kampung. Tradisi ini bukan sekadar bertukar kuih, tetapi juga mempereratkan hubungan dan anak-anak pun seronok menunggu giliran menukar palak kuih,” katanya.
Seorang peserta yang berasal dari Kuching dan mendirikan rumah tangga dengan seorang penduduk Kampung Sebandi Ulu Nurul Nadiah Shafie, 33, berkata perbelanjaan untuk membuat “palak kuih” dianggarkan sekitar RM200, bergantung kepada rekaan dan jenis kuih yang dipilih.
“Selepas berkahwin baru saya didedahkan dengan tradisi ini, kerana di bandar seperti Kuching tidak ada acara begini. Rasa seronok kerana hubungan silaturahim dalam kalangan penduduk sangat erat, masing-masing saling bertukar-tukar kuih dan beramah mesra,” katanya lagi, berat setiap talam yang diisi dengan kek dan kuih boleh mencecah tiga kilogram.
Sementara itu, Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata penduduk Kampung Sebandi Ulu, perlu mengekalkan tradisi “tukar palak kuih” sebagai identiti unik setiap kali menyambut Maulidur Rasul, menjadikannya berbeza daripada kampung-kampung lain di kawasan berkenaan.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Asajaya turut menekankan peranan generasi muda untuk meneruskan tradisi tersebut.
“Kami mahu generasi muda terus menyertai supaya tradisi ini kekal hidup. Ia bukan sekadar acara tahunan, tetapi wadah mengeratkan silaturahim dalam kalangan penduduk, memastikan semangat berkongsi dan bekerjasama terus diwarisi dari satu generasi ke generasi seterusnya,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial