PUTRAJAYA, 4 Sept (Bernama) -- Cadangan untuk menubuhkan sebuah institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) khusus di Pantai Timur bakal menjadi antara agenda menarik yang wajar dipertimbangkan dalam Belanjawan 2026, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata cadangan itu bersesuaian dengan ekosistem negeri-negeri Pantai Timur dan bertujuan meningkatkan penglibatan anak muda dalam sektor maritim, bukan sekadar sebagai nelayan kecil-kecilan tetapi juga sebagai nelayan laut dalam serta usahawan dalam bidang kelautan.
“Walaupun Universiti Kuala Lumpur (UniKL) telah mempunyai fakulti kelautan di Lumut, Perak, cadangan menubuhkan sebuah institusi TVET khusus di Pantai Timur perlu difikirkan mengikut kesesuaian. Nelayan jangan hanya menjadi nelayan, tetapi nelayan yang menjadi usahawan, terutamanya nelayan laut dalam,” katanya pada Sesi Dialog Belanjawan 2026 Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW bersama pihak berkepentingan peringkat negeri di sini, hari ini.
Dalam ucapannya, Ahmad Zahid berkata sebanyak 60 cadangan berimpak tinggi telah diterima daripada pelbagai pihak dan diteliti oleh pengurusan tertinggi kementerian dan akan dibawa ke Kementerian Kewangan menjelang pembentangan Belanjawan 2026 pada 10 Okt ini.
“Walaupun tidak semua cadangan dapat dipenuhi, kita berharap cadangan yang benar-benar berimpak tinggi dan bernilai tinggi akan diberi keutamaan oleh Kementerian Kewangan,” katanya.
Beliau berkata antara penekanan utama KKDW ialah tadbir urus yang baik bagi memastikan penyampaian pantas dan berkesan, pengukuhan ekonomi digital termasuk pendigitalan di kawasan luar bandar, serta pengukuhan keusahawanan desa.
Selain itu, tumpuan turut diberikan kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PKMS) serta ekonomi hijau, peningkatan kualiti hidup rakyat termasuk pekerjaan, pendidikan, kesihatan dan kesejahteraan sosial, serta pendidikan awal kanak-kanak.
Ahmad Zahid turut menekankan kemudahan asas komuniti Orang Asli, termasuk penambahbaikan rumah, jalan dan premis perniagaan moden melalui kerjasama kerajaan dan sektor swasta.
Prasarana asas desa juga diperkukuh melalui penggantian lampu jalan lama dengan lampu LED berkuasa solar bagi menjimatkan tenaga dan memanjangkan hayat lampu, manakala transformasi lima lembaga kemajuan wilayah diberi hala tuju baharu dengan tumpuan kepada pembangunan sosioekonomi.
Antara lembaga kemajuan wilayah adalah Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (PERDA), Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA), Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH) dan Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (KESEDAR).
Ahmad Zahid berkata KKDW menerima peruntukan sebanyak RM11.96 bilion pada Belanjawan 2025, di mana belanja mengurus berjumlah RM4.47 bilion (37.4 peratus) manakala peruntukan pembangunan sebanyak RM7.49 bilion (62.6 peratus).
Setakat Ogos 2025, prestasi perbelanjaan pembangunan KKDW telah mencapai RM4.21 bilion (56.2 peratus), melebihi purata nasional 54.1 peratus, manakala belanja mengurus pula sebanyak RM2.54 bilion (56.9 peratus) telah dibelanjakan.
Sementara itu, Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO mengesahkan beliau belum menerima surat rayuan daripada bekas Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berhubung pemecatannya daripada parti itu.
“Belum, saya belum terima lagi,” katanya ringkas ketika ditanya mengenai dakwaan Khairy menghantar surat rayuan kepada UMNO berhubung pemecatannya daripada parti pada hari ini.
Khairy, yang juga bekas Ketua Pemuda UMNO, dipecat keahliannya daripada parti pada 2023.
Sebelum ini, Khairy dilapor akan mempertimbangkan tawaran Ketua Pemuda UMNO Dr Akmal Saleh, untuk membantu memudahkan beliau kembali ke pangkuan parti.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial