EKONOMI

Institusi Tempatan Kekal Pembeli Bersih Bagi Minggu Kelima, Catat RM1.16 Bilion

02/09/2025 11:58 AM

KUALA LUMPUR, 2 Sept (Bernama) -- Institusi tempatan meneruskan aktiviti pembelian bersih di Bursa Malaysia bagi minggu kelima berturut-turut pada minggu lepas dengan mencatat pembelian sebanyak RM1.16 bilion berbanding RM391.8 juta pada minggu sebelumnya.

Dalam laporan mingguan Aliran Dana bagi minggu berakhir 29 Ogos, 2025, MBSB Investment Bank Bhd (MBSB IB) berkata pelabur runcit tempatan beralih sebagai pembeli bersih, sekali gus menamatkan jualan bersih selama dua minggu berturut-turut dengan aliran masuk bersih sebanyak RM249.4 juta.

Bank pelaburan itu berkata pelabur asing meneruskan aktiviti jualan bagi tempoh lapan minggu berturut-turut dengan mencatat aliran keluar bersih sebanyak RM1.41 bilion iaitu 4.47 kali lebih tinggi berbanding aliran keluar bersih minggu sebelumnya sebanyak RM314.4 juta.

“Kalangan pelabur asing menjadi penjual bersih sepanjang minggu pada setiap hari dagangan.

“Aliran keluar berjumlah RM95.4 juta hingga RM510.1 juta dengan angka tertinggi pada Selasa, diikuti oleh Jumaat (RM330.9 juta), Isnin (RM267.1 juta) dan Khamis (RM201.9 juta)," katanya.

Jumlah aliran keluar terendah pada Rabu sebanyak RM95.4 juta.

Menurut MBSB IB, tiga sektor utama dengan aliran masuk bersih tertinggi bagi pelabur asing adalah pengangkutan dan logistik (RM44.5 juta), pembinaan (RM30.6 juta) serta produk dan perkhidmatan perindustrian (RM23.9 juta).

Selain itu, tiga sektor utama dengan aliran keluar bersih tertinggi adalah perkhidmatan kewangan (RM752.6 juta), produk dan perkhidmatan pengguna (RM279.9 juta) serta utiliti (RM159.4 juta).

Bank pelaburan itu berkata purata jumlah dagangan harian mencatat peningkatan secara menyeluruh dengan pelabur asing dan institusi tempatan masing-masing menyaksikan pertambahan sebanyak 76.4 peratus dan 13.3 peratus manakala pelabur runcit meningkat sederhana sebanyak 14.9 peratus.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan