KUALA LUMPUR, 1 Sept (Bernama) -- Ikatan Setiakawan Wartawan Malaysia Indonesia (ISWAMI) Malaysia merakamkan setinggi-tinggi tahniah kepada Akhmad Munir atas pemilihannya sebagai Ketua Umum Persatuan Wartawan Indonesia (PWI) Pusat bagi penggal 2025-2030 serta Atal S. Depari yang dipilih sebagai Ketua Dewan Kehormatan PWI.
Pemangku Presiden ISWAMI Malaysia Datuk Ahmad Zaini Kamaruzzaman berkata pihaknya yakin kepimpinan Akhmad yang juga Direktur Utama Lembaga Kantor Berita Nasional (LKBN) akan terus memperkukuh perpaduan dan kesatuan dalam kalangan anggota PWI.
"ISWAMI Malaysia juga berharap hubungan media Malaysia dan Indonesia terus dipertingkatkan dalam usaha kita meningkatkan lagi kefahaman bersama selain membentuk naratif yang lebih baik dalam menangani isu-isu semasa dan isu-isu berkepentingan kedua-dua negara," katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, kepimpinan PWI di bawah Akhmad bersama Atal diyakini akan terus mengangkat peranan kewartawanan, bukan sahaja di Indonesia tetapi juga di peringkat serantau dan antarabangsa.
ISWAMI Malaysia katanya, komited menjalin kerjasama dengan PWI bagi memperkukuh penyebaran berita dan maklumat tepat serta membina kefahaman rakyat Malaysia dan Indonesia terhadap pelbagai isu semasa.
“Kefahaman media antara kedua-dua negara bukan sahaja dapat merapatkan hubungan rakyat, malah turut membantu memperkukuh kerjasama strategik antara kerajaan Malaysia dan Indonesia.
"Semoga PWI terus sukses dan diberkati dalam memimpin dunia kewartawanan ke arah masa depan yang lebih gemilang. ISWAMI Malaysia juga mendoakan Indonesia dan Malaysia sentiasa sejahtera, aman dan makmur. Dirgahayu Indonesia! Dirgahayu Malaysia!" katanya.
Pada Sabtu lepas, media Indonesia melaporkan Akhmad dipilih sebagai Ketua Umum PWI Pusat bagi penggal 2025-2030 selepas memperoleh 52 undi pada Kongres PWI 2025 di Cikarang, Jawa Barat manakala pesaingnya, Hendry Ch. Bangun menerima 35 undi.
Pada kongres sama, Atal turut dipilih sebagai Ketua Dewan Kehormatan PWI dengan 44 undi, menewaskan Sihoni HT yang mendapat 42 undi.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial