KUALA LUMPUR, 1 Sept (Bernama) -- Amerika Syarikat (AS) menyampaikan ucapan tahniah kepada Malaysia sempena sambutan Hari Kebangsaan ke-68 negara.
Setiausaha Negara AS, Marco Rubio berkata AS dan Malaysia menikmati hubungan kerjasama yang kukuh dan berpanjangan sejak beberapa dekad lalu, berteraskan nilai keamanan, keselamatan dan kemakmuran.
Beliau juga berkata bahawa kerjasama itu turut terserlah melalui usaha bersama baru-baru ini bagi memastikan gencatan senjata berkekalan antara Thailand dan Kemboja, sambil menyatakan keyakinan hubungan dua hala akan terus diperkukuh pada masa depan.
“Bagi pihak Amerika Syarikat, saya menyampaikan ucapan tahniah yang tulus ikhlas kepada rakyat Malaysia sempena ulang tahun kemerdekaan ke-68 Malaysia pada 31 Ogos.
“AS dan Malaysia telah menikmati kerjasama erat dan berpanjangan selama beberapa dekad, berasaskan visi bersama untuk keamanan, keselamatan dan kemakmuran, seperti yang terbukti melalui kerjasama terkini dalam memastikan gencatan senjata berkekalan bagi Thailand dan Kemboja.
“Saya berharap hubungan dua hala dapat diperkukuh ketika kita merangka masa depan yang lebih cerah untuk kedua-dua negara.
“Dengan ucapan tahniah dari AS ketika anda meraikan pencapaian ini, saya mendoakan agar seluruh rakyat Malaysia melalui tahun mendatang dengan penuh kemakmuran,” kata Rubio dalam satu perutusan yang dimuat naik di laman rasmi Facebook Kedutaan AS di Kuala Lumpur pada Isnin.
Rubio melawat Malaysia pada Julai lalu bagi menghadiri beberapa mesyuarat berkaitan ASEAN, termasuk Persidangan Pasca Menteri-Menteri Luar ASEAN-AS, Mesyuarat Menteri-Menteri Luar Sidang Kemuncak Asia Timur (EAS) serta Mesyuarat Menteri-Menteri Luar Forum Serantau ASEAN (ARF).
Dalam lawatan itu, Rubio turut mengadakan perbincangan dengan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim serta rakan sejawat serantau, dengan perbincangan turut tertumpu kepada pengukuhan kerjasama Indo-Pasifik dan peningkatan kolaborasi ekonomi.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial