AM

Melaka Wakil Malaysia Ke World Expo 2025 Di Osaka, Jepun

28/08/2025 08:17 PM

MELAKA, 28 Ogos (Bernama) -- Melaka dipilih oleh Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) sebagai negeri ketujuh mewakili Malaysia ke World Expo 2025 di Osaka, Jepun bermula 31 Ogos hingga 6 Sept ini.

Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata penyertaan Melaka merupakan peluang strategik bagi mempamerkan potensi ekonomi dan pelaburan di peringkat global iaitu menarik pelaburan baharu dan meluaskan pasaran produk usahawan tempatan dalam menembusi pasaran antarabangsa, khususnya di Asia Timur.

Beliau berkata selain itu, misi tersebut bertujuan membina rangkaian global dengan menjalin kerjasama antarabangsa menerusi pertukaran idea berkaitan inisiatif bandar raya mampan oleh bandar raya lain di dunia serta mempromosi zon ekonomi baharu seperti Zon Ekonomi Pesisir Selat Melaka (SM-WEZ), MCORP HiTech Park, German Technology Park dan Elkay 2.0.

"Acara bertaraf dunia ini berlangsung dari 13 April lepas hingga 13 Okt ini dengan jangkaan kehadiran melebihi 28 juta pengunjung dari seluruh dunia.

"Penganjuran ekspo ini yang bertema 'Designing Future Society for Our Lives' turut mengetengahkan tiga subtema utama iaitu menyelamatkan kehidupan (saving lives), memperkasakan kehidupan (empowering lives) dan menghubungkan kehidupan (connecting lives)," katanya kepada pemberita pada sidang media di sini hari ini.

Beliau berkata menerusi penyertaan itu, Melaka akan menganjurkan 'Expo Osaka 2025 - Melaka Week' yang melibatkan pelbagai pengisian program antaranya pelancaran minggu ekspo tersebut di Pavilion Malaysia pada 2 Sept, majlis menandatangani lima memorandum persefahaman (MoU) dengan pihak swasta, pameran agensi kerajaan dan usahawan Melaka serta seminar, dialog perniagaan dan sesi padanan perniagaan.

Katanya sepanjang 'Expo Osaka 2025 - Melaka Week' itu, kerajaan negeri menyasarkan potensi nilai jualan dan kerjasama perniagaan sebanyak RM3 juta dan sasaran itu dilihat realistik berdasarkan potensi pasaran Jepun yang mementingkan kualiti, inovasi dan nilai tambah, selari dengan kekuatan produk yang dibawa oleh usahawan Melaka.

Mengulas lanjut, Ab Rauf berkata sebanyak lapan syarikat perusahaan kecil dan sederhan (PKS) yang berpotensi tinggi dan berdaya saing dari Melaka turut dibawa ke ekspo berkenaan sebagai sebahagian usaha memperkukuh ekonomi domestik melalui pasaran antarabangsa.

Beliau berkata syarikat berkenaan antaranya merupakan pengeluar produk durian sejuk beku, produk aiskrim buah tanpa pengawet, produk ternakan udang, minuman karbonat, produk berasaskan herba dan perkhidmatan OEM serta produk perkhidmatan elektrik, elektronik dan automotif.

"Kerajaan negeri melalui jabatan dan agensi terlibat turut memberikan beberapa fokus utama antaranya pembentangan kaedah bagi permohonan Halal JAKIM serta memperkenalkan Melaka sebagai hab perdagangan halal serta perkhidmatan perundingan halal.

"Misi itu juga bertujuan memperkasakan PKS halal ke pasaran global serta mempromosikan pelancongan negeri sempena pemilihan Melaka sebagai tuan rumah bagi Hari Pelancongan Sedunia dan Persidangan Pelancongan Sedunia 2025," katanya.

Beliau berkata kerajaan negeri juga akan mengadakan lawatan kerja menerusi misi pelaburan khas untuk meneroka peluang pelaburan dan kolaborasi teknologi dalam sektor perubatan, farmaseutikal dan pengurusan kesihatan pintar ke dua syarikat utama di Jepun iaitu Nipro Corporation di Shiga dan Sysmex Corporation di Kobe.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan