KUALA LUMPUR, 28 Ogos (Bernama) -- Rang Undang-Undang (RUU) Perolehan Kerajaan 2025 yang diluluskan Dewan Rakyat hari ini, permulaan kepada langkah reformasi pentadbiran kewangan dan tatakelola yang baik, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata kejayaan RUU itu diluluskan Dewan Rakyat, bukanlah penamat kepada perjuangan reformasi Kerajaan MADANI.
“Alhamdulillah. Dengan sokongan 125 undian, RUU Perolehan Kerajaan 2025 telah diluluskan di Dewan Rakyat hari ini. Ini bukan penamat perjuangan reformasi kita.
“Penggubalan RUU ini hanyalah mukadimah kepada perubahan yang kita dambakan, yakni memastikan setiap sen hasil negara dibelanjakan secara berhemah dan berintegriti demi mengangkat darjat Malaysia,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Terdahulu, Dewan Rakyat meluluskan RUU itu yang bertujuan memperuntukkan kewajipan, tanggungjawab, tadbir urus dan ketelusan dalam perolehan kerajaan selain penubuhan Tribunal Rayuan Perolehan Kerajaan serta peruntukan lain yang berkaitan.
RUU itu diluluskan menerusi undi belah bahagian yang menyaksikan 125 Ahli Parlimen bersetuju, 63 tidak bersetuju, seorang tidak mengundi dan 32 tidak hadir.
Semalam, Perdana Menteri ketika membentangkan RUU itu bagi bacaan kedua berkata Kerajaan MADANI melakukan satu lagi reformasi besar yang tidak berani atau sanggup dilaksanakan pentadbiran terdahulu, menerusi pembentangan RUU Perolehan Kerajaan 2025.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata menerusi RUU itu, semak dan imbang diperkukuh dengan keputusan perolehan termasuk keputusan Menteri Kewangan boleh dicabar dan dikaji semula menerusi proses Panel Kajian Semula dan seterusnya Tribunal Rayuan Perolehan yang berkecuali.
Perdana Menteri berkata RUU Perolehan Kerajaan juga memperkenalkan tindakan punitif atas ketidakpatuhan perolehan dan Menteri Kewangan tidak terkecuali atas kesalahan yang diperuntukkan dalam RUU itu.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial