AM

Ruang Parkir Motosikal Baharu Beri Keselesaan Buat Petugas Bernama

28/08/2025 07:55 PM

KUALA LUMPUR, 28 Ogos (Bernama) -- Setelah dua bulan penantian, petugas Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) kini boleh menikmati kemudahan ruang parkir motosikal berbumbung, melalui inisiatif agensi berita itu untuk meningkatkan kebajikan dan keselamatan petugasnya.

Majlis perasmian ruang parkir yang boleh memuatkan lebih 100 buah motosikal itu, disempurnakan Ketua Pegawai Eksekutif Bernama Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin di pekarangan Wisma Bernama. 

Turut hadir Ketua Pengarang Bernama Arul Rajoo Durar Raj.

Pengurus Kanan Pentadbiran dan Fasiliti Bernama Hasni Farlina berkata kerja-kerja menaik taraf ruang parkir berusia 20 tahun dengan kos sebanyak RM49,970 itu, meliputi pembersihan kawasan, pembinaan semula struktur parkir dan pembaikan fasiliti seperti lampu dan pemasangan kamera litar tertutup.

“Proses menaik taraf telah bermula 4 Jun lepas dan sepatutnya sudah selesai hari ini, tetapi ada pandangan daripada pihak pengurusan yang mahu pelbagaikan ruang ini sebagai dewan serbaguna untuk kegunaan aktiviti luar Bernama,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Sementara itu, Yang Dipertua Kesatuan Pekerja-Pekerja Bernama Abu Bakar Mohamed meluahkan kesyukuran atas keprihatinan pihak pengurusan Bernama menaik taraf ruang parkir motosikal itu, bagi memberi keselesaan kepada petugas Bernama.

“Sebelum ini, kalau diikutkan hanya lebih kurang 70 buah motosikal yang dapat menggunakan parkir di sini, tetapi sekarang dengan keluasan yang lebih baik dan kemas, pokok pun dah dipotong jadi dapat memberi keselesaan kepada petugas Bernama yang menaiki motosikal ke tempat kerja,” katanya.

Seorang petugas Bahagian Teknologi Maklumat Mohd Halim Esham berkata selain dapat memberi keselesaan kepada petugas, ruang parkir yang tersusun itu juga boleh mengurangkan kejadian saman oleh pihak berkuasa, kerana meletak motosikal merata-rata seperti sebelum ini.

“Selaku petugas Bernama yang menggunakan motosikal untuk pergi dan balik kerja, saya mengucapkan jutaan terima kasih kepada pengurusan Bernama atas keprihatinan dan juga tindakan serta respons yang baik,” katanya.

Bendahari Kelab Motosikal Bernama Abdul Azim Abdul Rahman turut memuji keprihatinan pengurusan Bernama, yang sentiasa mendengar keluhan dan menjaga kebajikan petugas di semua peringkat.

“Alhamdulillah, kami bersyukur, selama ini yang kami nantikan telah pun dilaksanakan, sebelum ini kena hujan dan panas, sekarang dah ada bumbung penuh, jadinya kami boleh berteduhlah jika ada hujan dan ribut,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan