AM

WBS Anjur Gender Outlook Forum 2025, Pacu Agenda Kesaksamaan Gender

28/08/2025 04:35 PM

SUBANG, 28 Ogos (Bernama) -- Selangor terus memperkukuh kedudukannya sebagai peneraju pemerkasaan wanita di Malaysia, sekali gus menjadi pemangkin kerjasama strategik dalam mempercepat agenda kesaksamaan gender melalui penganjuran Gender Outlook Forum 2025, yang berlangsung selama dua hari bermula hari ini.

Exco Pembangunan Wanita dan Kebajikan Masyarakat Selangor Anfaal Saari berkata forum anjuran Wanita Berdaya Selangor (WBS) yang bertemakan Advancing Gender Equality in ASEAN itu, bertujuan mengarusperdanakan kesaksamaan gender dalam membuat keputusan di semua sektor dasar, selain menggalakkan dialog dasar dan penglibatan pelbagai pihak berkepentingan pada peringkat serantau dan tempatan.

“Selain itu, penganjurannya juga bertujuan memperkukuh usaha kerajaan dengan meningkatkan kapasiti, memperkukuh alat serta memanfaatkan sumber sedia ada selaras dengan komitmen global,” katanya kepada pemberita selepas program itu di sini hari ini.

Forum itu yang dirasmikan isteri Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, turut dihadiri Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri.

Anfaal berkata berdasarkan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), penyertaan wanita dalam tenaga buruh di Selangor adalah sebanyak 69.8 peratus, melebihi kadar penyertaan wanita pada peringkat nasional yang mencatatkan 58.5 peratus.

“Justeru, penganjuran forum ini memberi penekanan kepada lima teras utama yang menjadi landasan perbincangan, antaranya memperkasakan pengarusperdanaan gender, keupayaan kerajaan dan ketersediaan data.

“Selain itu, mencegah keganasan terhadap wanita dalam politik dan memperkukuh penyertaan demokrasi, mengurangkan ketidaksamaan gender melalui pelaburan dalam sektor penjagaan dan memperkasakan ekonomi wanita dan mengambil kira perubahan iklim, kelestarian hijau dan teknologi,” katanya.

Terdahulu, Anfaal dalam ucapannya berkata sebagai bukti komitmen pihaknya terhadap visi ASEAN untuk kesaksamaan gender, Selangor menjadi negeri pertama di Malaysia yang memulakan dua rangka kerja strategik utama iaitu Projek Perintis Pengarusutamaan Gender dan Belanjawan Responsif Gender.

“Inisiatif ini merupakan satu bukti jelas mengenai usaha proaktif negeri kita untuk sejajar dengan komitmen peringkat kebangsan serta menyumbang kepadanya dan ASEAN dalam memajukan kesaksamaan gender dan keterangkuman sosial.

“WBS juga telah melancarkan dua program kepimpinan utama iaitu Akademi Kepimpinan Wanita (AKW) and Sidang Wanita Selangor (SIWANIS),” katanya. 

Pada majlis itu, turut dimeterai perjanjian kerjasama antara WBS dan International Shari’ah Research Academy for Islamic Finance (ISRA) Institute, INCEIF University sebagai komitmen bersama untuk memajukan inovasi inklusif serta ketahanan ekonomi berteraskan penjagaan.

Forum itu dianjurkan WBS dengan kerjasama Westminster Foundation for Democracy (WFD), Pusat Penyelidikan Wanita dan Gender (KANITA) Universiti Sains Malaysia, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSK) Universiti Kebangsaan Malaysia serta Program Pengajian Gender Universiti Malaya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan